KEPALA BATAS - Hajat seorang pekerja hotel untuk ke tempat kerja tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah bas sekolah di Lebuhraya Utara Selatan di sini pada jam 9.05 pagi tadi.
Ketika kejadian, mangsa Muhamat Danil Mt Noh, 21, yang menunggang motosikal jenis Benneli 150 itu datang dari arah Sungai Petani menghala ke Sungai Dua.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa dipercayai dari rumahnya yang terletak di Jitra, Kedah untuk ke tempat kerja di sebuah hotel di Bayan Lepas, namun ketika tiba di Kilometer 17.4 (arah selatan) lebuh raya berkenaan, mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah bas sekolah di lorong kecemasan.
"Siasatan awal mendapati pemandu bas sekolah tersebut memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk membuat pemeriksaan selepas terdengar bunyi dari bas berkenaan.
"Ketika dia hendak turun dari bas itu, tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah belakang melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas," katanya ketika dihubungi tadi.
Menurutnya, rempuhan tersebut menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.
"Mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya.
Noorzainy berkata, pemandu bas berusia 43 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.