SHAH ALAM - Tidak ada peraturan melarang orang ramai minum arak di tempat awam di Selangor seperti larangan merokok.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, peraturan itu sukar dilaksanakan kecuali terdapat peruntukan undang-undang khusus berhubung perkara itu di peringkat Persekutuan atau negeri.
"Bagaimanapun pihak berkuasa tempatan (PBT) mensyaratkan waktu operasi penjualan minuman keras mengikut waktu yang dibenarkan iaitu sehingga 9 malam.
"Selain itu PBT juga mensyaratkan peniaga untuk memastikan pelanggan tidak minum minuman keras di depan premis serta tempat terbuka," katanya pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) di sini semalam.
Pada masa sama, Sze Han berkata, PBT mengambil langkah dengan menjalankan rondaan pemantauan di lokasi awam bagi menangani masalah kacau ganggu yang berpunca daripada orang mabuk.
"Kerajaan Selangor menetapkan satu garis panduan penjualan minuman keras yang diguna pakai di setiap PBT seperti mensyaratkan peniaga meletakkan papan tanda larangan menjual minuman terhadap pembeli di bawah umur 18 tahun.
"PBT melalui anggota penguat kuasa akan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya terhadap individu yang dikesan mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Selain itu, katanya, Selangor juga menetapkan jarak operasi premis perniagaan minuman keras dari rumah ibadat seperti masjid, tokong dan kuil serta pejabat kerajaan, sekolah, hospital dan kawasan perumahan.