PONTIAN - Polis telah memanggil seramai 12 individu bagi dirakam keterangan berhubung kenyataan berbaur hasutan yang didakwa diucapkan Menteri Pertanian dan dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu talimat tertutup baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 A (1) Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1954.
"Kesemua 12 orang individu itu didapati berada dalam sesi taklimat tertutup itu. Mereka dipanggil polis dan dirakam keterangan membantu siasatan kes ini.
"Setakat ini, kita telah merakamkan beberapa keterangan daripada individu yang berada semasa ucapan itu dan kita sedang kumpulkan segala keterangan yang ada untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian semalam.
Mohd Kamaruddin berkata, polis akan mempercepatkan proses siasatan memandang kes berkenaan penting kerana melibatkan seorang menteri.
"Jadi, kita akan usahakan secepat mungkin untuk siapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Peguam Negara," katanya.
Baru-baru ini, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam satu perjumpaan.
Menerusi klip video berkenaan, Salahuddin dilaporkan berkata: ‘Saya tahu ada marahkan PH (Pakatan Harapan) tapi ingat kalau bagi balik BN (Barisan Nasional) berkuasa, ini country akan huru-hara'.