RAWANG - Seorang kontraktor kerugian hampir RM4,000 apabila rumahnya dipecah masuk penjenayah pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kontraktor berusia 48 tahun itu menyedari kejadian tersebut sekitar jam 7.30 pagi selepas bangun tidur.
Menurutnya, ruang tamu rumah dua tingkat itu didapati dalam keadaan berselerak dan mangsa juga mendapati kunci mangga pada gril pintu hilang serta terdapat kesan umpil pada pintu.
"Mangsa kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati beberapa barangan hilang iaitu kamera digital, televisyen, komputer riba, telefon pintar dan duit syiling dalam tabung lebih kurang RM400," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Samsor berkata, pemeriksaan polis di lokasi mendapati suspek dipercayai menggunakan sarung tangan ketika melakukan kegiatan itu.
"Tiada kesan cap jari berjaya dikesan di tempat kejadian dan suspek dipercayai menggunakan sarung tangan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Samsor menambah, ketika kejadian mangsa bersama keluarganya isteri dan tiga orang anak berusia empat hingga lapan tahun tidur di tingkat atas rumah berkenaan.