'Umat Islam perlu raih sokongan dunia'

Iklan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat sebuah perpustakaan Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada siri kolokium antarabangsa mengenai pemahaman Islam atas tajuk ‘Menjelaskan Islamophobia: Kearah Pengertian Lebih Mendalam Mengenai Islam,’ anjuran IKIM di sini hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Umat Islam harus berusaha mendapatkan sokongan dunia dengan menonjolkan ketidakadilan yang dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam di Palestin, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menegaskan bahawa tidak benar semua orang Eropah atau Amerika itu menentang Islam atau Muslim atau Palestin kerana kebanyakan mereka sebenarnya bersimpati.

Iklan
Iklan

"Kita perlu mendapatkan simpati dan sokongan dunia jika kita mahu menghentikan penindasan terhadap umat Islam oleh Israel.

"Tetapi jika kita melakukan tindakan keganasan, kita akan mendorong mereka ke arah menyokong Israel, kerana kemudian Israel boleh mendakwa bahawa kita tidak boleh bersikap normal dan ambil peduli terhadap nyawa orang yang tidak bersalah," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada siri kolokium antarabangsa mengenai pemahaman Islam atas tajuk ‘Menjelaskan Islamophobia: Kearah Pengertian Lebih Mendalam Mengenai Islam,’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini semalam.

Menurutnya, umat Islam perlu sedar bahawa perbuatan keganasan yang dilakukan di tempat lain di dunia yang kononnya bagi menyokong Palestin, tidak mungkin membuahkan kejayaan malahan rakyat Palestin yang sebenarnya kehilangan lebih banyak tanah kepada orang Yahudi.

Iklan

Dr Mahathir berkata, dalam hal itu cara terbaik adalah dengan mendapatkan simpati dunia dengan memperlihatkan bahawa Israel adalah pelaku ketidakadilan terhadap umat Islam.

"Kita memerlukan lebih ramai orang untuk menyokong perjuangan umat Islam dan tindakan keganasan tidak membantu dalam memenangi sokongan. Dalam banyak kes tindakan keganasan tidak memberi apa-apa keputusan sama sekali.

"Apa yang memberikan hasil adalah strategi yang baik, menggunakan diplomasi dan cara lain untuk memenangi sokongan ramai orang," katanya sambil menambah bahawa umat Islam mesti menahan diri daripada tindakan keganasan kerana atas perbuatan ini dunia tidak akan menyayangi mereka.

Dr Mahathir juga mengetengahkan bahawa jika keadilan diberikan kepada rakyat Palestin dengan tuntutan mereka dihormati dan disokong, beliau yakin bahawa tindakan keganasan akan berkurangan.

Beliau berkata, Israel sendiri melakukan tindakan keganasan terhadap umat Islam tetapi ini tidak dilaporkan.

"Tetapi tidak ada yang dikatakan Israelophobia. Seharusnya ada tetapi tiada,” katanya.

Menurutnya, ada di kalangan umat Islam terpaksa melakukan apa yang dianggap sebagai keganasan ekoran kekecewaan dan kemarahan terhadap perkembangan di Palestin di tangan Israel.

"Sekiranya kita tidak mengiktiraf sebab musabab perbuatan mereka itu yang kita gelar tindakan keganasan, maka ini akan berterusan dan menjadi semakin parah apabila semakin ramai orang yang marah dan kecewa.

"Dan sudah barang tentu ini akan menyebabkan Islam dan Muslim dikutuk (dituduh) sebagai punca keganasan dan ketakutan yang dirasai oleh dunia," katanya.