NEW DELHI - Polis India dilaporkan menahan puluhan individu gara-gara komen di media sosial yang didakwa menggugat keharmonian komuniti susulan keputusan Mahkamah Agung menyerahkan lokasi suci di Ayodhya, utara India kepada penganut Hindu.
Menurut kenyataan polis, sekurang-kurangnya 77 orang ditahan di Uttar Pradesh, lokasi terletaknya bandar Ayodhya susulan keputusan mahkamah yang turut memutuskan sebidang tanah akan diberikan untuk pembinaan masjid baharu.
Tindakan diambil terhadap lebih 8,270 komen termasuk melaporkannya kepada platform media sosial dan menghubungi pengguna yang terlibat untuk memadamkan komen berkenaan.
Dilaporkan sejumlah 2,800 komen dimuat naik ke laman Twitter, 1,355 di Facebook dan 98 yang lain dibuat menerusi video YouTube.
Sementara itu lapan lagi tangkapan dibuat di negeri Madhya Pradesh juga berkaitan komen di laman sosial.
Polis unit jenayah siber berkata, mereka menggunakan program analisis sentimen bagi mengenal pasti muat naik media sosial suspek.
Dalam pada itu, seorang warden penjara di bandar Gwalior juga ditahan kerana meraikan keputusan kontroversi itu dengan memasang mercun.
Terdahulu, penganut Hindu mendakwa sebuah masjid yang tersergam di bandar Ayodhya sejak hampir lima abad itu dibina atas tempat kelahiran Dewa Ram, ia kemudian dirobohkan sekumpulan perusuh pada 1992 sekali gus mencetuskan rusuhan yang meragut 2,000 nyawa. - AFP