Tak dapat daftar sekolah

Iklan
Johari bersama Nurul Husna dan isterinya menunjukkan dokumen berkaitan prosedur yang pernah dilakukannya bagi mendapatkan sijil kelahiran

PENDANG - Seorang bapa runsing memikirkan nasib anak angkatnya yang tidak dapat ke sekolah ekoran tidak mempunyai sijil kelahiran.

Johari Ishak, 53 berkata, anak angkatnya itu Nurul Husna, 12 sebelum ini belajar di Sekolah Kebangsaan Paya Rawa dengan menggunakan surat kebenaran sementara.

Iklan
Iklan

Katanya, surat berkenaan perlu diperbaharui setiap enam bulan namun begitu ia tetap tidak boleh digunakan untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Sebelum ni dia boleh pi sekolah guna surat tersebut dan juga atas belas ehsan guru besar, tetapi pada tahun ini dia tidak boleh bedaftar seperti sebelumnya," katanya ketika ditemui di Kampung Durian, semalam.

Iklan

Menurut Johari, dia dan isteri Siti Fatimah Wahab, 53, mengambil Nurul Husna daripada seorang saudara mereka.

"Kami menerima Nurul Husna pada tahun 2008 daripada seorang saudara tanpa sebarang dokumen kelahiran.

Iklan

"Cumanya depa ada bagi saya surat pencarian sijil kelahiran namun tidak mempunyai sebarang nilai," katanya.

Johari berkata, saudaranya itu ada berjanji untuk memberikan sijil kelahiran namun hampa kerana kini sudahpun terputus hubungan.

"Saya mula buat laporan polis, dan melakukan pelbagai prosedur bagi membolehkan anak saya mendapat sijil kelahiran.

"Namun sehingga kini usaha saya dilihat hanya sia-sia apabila sehingga sekarang saya belum mendapat sijil kelahiran berkenaan," katanya.

Johari berkata, Nurul Husna pernah tidak dapat bersekolah selama 10 bulan ketika di tahun empat pada tahun lalu.

"Masa tu dia tertinggal banyak sangat silibus pelajaran, kesian dia untuk ulangkaji semua tanpa bimbingan guru.

"Walaupun dia hanya anak angkat kami, tetapi kasih sayang kami pada dia tak terperi memandangkan kami tidak dikurniakan zuriat," katanya.

Tambah Johari, masalah menjadi sangat rumit apabila Nurul Husna perlu berurusan dengan pihak tertentu seperti hospital.

"Kalau dia demam saya tak boleh nak hantar dia ke hospital sebab tak ada sijil kelahiran dan terpaksa membeli ubat di farmasi," katanya.

Tambah Johari, dia dan isteri sangat berharap pihak tertentu untuk tampil membantu Nurul Husna agar dapat mendaftarkan diri untuk tahun enam bagi membolehkan dia menduduki Ujian Pencapainan Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.