Rezeki berganda Ikie dirai dua peminat bola sepak

Iklan
Muhammad Fareez Rifqi bersama Mohamad Firdaus (berdiri, kanan) dan Faizul (berdiri, kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Bauman (duduk, kanan) dan Fernando di Menara Alor Setar.

ALOR SETAR - Penyokong cilik Lang Merah, Muhammad Fareez Rifqi Rosli, 10, diraikan dua peminat bola sepak tanah air dari Pulau Pinang selepas telatah lucunya menunjukkan reaksi tidak gembira apabila Kedah tewas 3-0 kepada JDT pada pentas final Piala Malaysia 2019 tular di media sosial.

Lebih menggembirakan, Muhammad Fareez Rifqi atau nama panggilannya, Ikie yang dibawa makan malam di Menara Alor Setar telah bertemu secara kebetulan dua bekas pemain import Kedah, Jonathan Bauman dan Fernando Rodriguez di tempat itu baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Memori manis berganda Ikie itu dirakamkan seorang lagi peminat bola sepak Kedah, Zainal Aziz Md Zain, 46, yang turut bersama dalam majlis makan malam tersebut.

Turut menemani Ikie adalah ibunya, Latifah Hassan yang datang dari Kuala Nerang.

Iklan

Menurut Zainal Aziz, dia dihubungi Faizul Azlan Zurailan, 36, dan Mohamad Firdaus Abd Rahim, 29, selepas mereka melihat video Ikie yang tular.

Firdaus dan Faizul tertarik untuk bertemu dengan Ikie selepas melihat video kanak-kanak tersebut yang tular di media sosial.

"Mereka berdua adalah penyokong Harimau Kumbang namun mahu meraikan Ikie sebab seronok melihat kepetahan budak ini bercakap. Mereka yang bekerja di Pulau Pinang sanggup datang ke Alor Setar bersama keluarga untuk berjumpa dan belanja Ikie serta ibunya di Menara Alor Setar.

Iklan

"Kebetulan semasa di lif menara, kami bertembung pula dengan Bauman dan Fernando yang bersama Ketua Unit Pasukan Liga Super Kedah, Anas Hafiz Mustaffa dan beberapa pegawai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang turut mahu meraikan kedua-dua pemain import tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Zainal Aziz berkata, bagaimanapun beliau kecewa apabila terdapat sedikit kesilapan maklumat mendakwa KFA telah mengadakan majlis khas buat peminat cilik tersebut selepas foto Ikie bergambar bersama Bauman dan Fernando tular di media sosial.

"Sebenarnya berlaku salah faham, KFA tidak buatpun majlis bersama Ikie. Mereka bertemu secara kebetulan di Menara Alor Setar. Tapi apapun memang Ikie gembira kerana tidak menjangkakan majlis makan malam selain bertemu pemain Kedah serentak pada malam tersebut," katanya.