SARAPAN pagi original dari Kelantan seperti nasi berlauk, nasi dagang, nasi tumpang dan nasi impit sambal sememangnya sudah lama ada di Lembah Klang.
Merak Jalanan juga adalah antara penggemar utama nasi berlauk air dingin.
Merak Jalanan kongsikan serba sedikit maklumat mengenai perjalanan bisnes sarapan pagi dari Kelantan untuk tatapan pembaca.
Jika sebelum ini kapal terbang jadi pengangkutan utama mengimport pelbagai menu sarapan pagi dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu ke Kuala Lumpur atau Selangor, kini medium pengangkutannya sudah berubah.
Pacuan empat roda pula jadi kemudahan logistik utama dek permintaan tinggi terhadap sarapan pagi itu di Lembah Klang terutamanya nasi berlauk air dingin.
Sebenarnya terdapat dua jenama nasi berlauk air dingin yang terkenal iaitu Nasi Berlauk Kak Chik dan Nasi Berlauk Husna; kedua-duanya berasal dari Kampung Air Dingin, Tumpat, Kelantan.
Dua brand itu sudah memenuhi selera penggemar nasi berlauk di Lembah Klang, tidak kira anak kelahiran Kelantan atau orang luar.
Malah, nasi berlauk air dingin itu membuka peluang perniagaan baharu kepada segelintir pemastautin di Lembah Klang apabila mereka berpeluang menjadi ejen jualan sarapan pagi itu.
Rantaian perniagaan nasi berlauk air dingin bermula daripada pengusahanya di Tumpat, vendor di negeri dan ejen penghantar di Kuala Lumpur.
Bekalan nasi berlauk itu diambil vendor dari dapur utama di Kampung Air Dingin dan Kampung Berangan di Tumpat sebelum dibawa ke Lembah Klang.
Di Kuala Lumpur atau Selangor, ejen penghantar akan menerima bekalan dan menghantarnya pula kepada ejen-ejen jualan di check point yang ditetapkan.
Ejen jualan pula menjualnya di lokasi yang dipilih dan keuntungan setiap satu jualan itu antara 50 sen hingga RM1.
Begitulah keunikan rangkaian perniagaan nasi air dingin di Kuala Lumpur dan Selangor.