LABUAN - Seorang lelaki warga New Zealand dijumpai mati dengan kesan kecederaan di bahagian atas dan belakang kepalanya di jeti Marina Labuan pada tengah hari Ahad.
Ketua Polis Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata Barry James Stanley, 63, bertugas sebagai guru sambilan di Brunei tiba di jeti itu kira-kira 12 tengah hari dari Brunei bersama-sama rakan senegaranya dengan menaiki kapal layar.
Iklan
Iklan
Beliau berkat,a rakan mangsa, Alistair Charles Muir, membantunya mengikat kapal layar itu untuk berlabuh sebelum makan tengah hari di sebuah hotel berhampiran.
Bagaimanapun, Muhamad Farid berkata Muir terkejut apabila mendapati Stanley yang memakai seluar pendek dan baju-T terbaring di laluan jeti itu dengan mulut berdarah sekembalinya dari makan tengah hari kira-kira 2 petang.
"Dia menjerit meminta tolong daripada pengawal keselamatan di pondok pengawal berhampiran dan dengan bantuan seorang warga Brunei. Mereka memberi bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa tetapi gagal.
"Apabila ambulans tiba 15 minit kemudian, mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada 2.45 petang," katanya.
Pemeriksaan awal menunjukkan terdapat kesan geseran pada siku tangan mangsa. Siasatan diteruskan dan punca kematian belum dikenal pasti. - Bernama