Waris mangsa kren runtuh di Malaysia belum terima pampasan

Iklan
Laporan Sinar Harian semalam.

IPOH - Waris dan keluarga mangsa kren runtuh pada musim haji 2015 lalu belum menerima sebarang pampasan daripada Kerajaan Arab Saudi.

Norhaizan Ahmad Badri, 38, anak sulung kepada Allahyarham Rusiah Suar berkata, kali terakhir pihaknya menerima perkembangan itu pada 2017 lalu berkenaan keputusan Mahkamah Makkah bahawa semua mangsa tidak akan mendapat sebarang wang pampasan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, awal tahun ini, Lembaga Tabung Haji ada menghubungi ahli keluarga untuk menetapkan seorang wakil waris bagi memudahkan urusan pampasan.

"Selepas itu tiada sebarang perkembangan sama ada menerima pampasan atau sebaliknya, kami juga tidak pasti kerana tidak dimaklumkan secara nyata," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Allahyarham Rusiah, 56, dari Felda Gunung Besout 2, Sungkai antara tujuh jemaah Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu sementara 11 jemaah lagi cedera.

Norhaizan berkata, keluarganya menyerahkan sepenuhnya urusan itu kepada Lembaga Tabung Haji dan tidak kisah menerima pampasan atau sebaliknya.

Iklan

Bagaimanapun katanya, mereka tetap akan menunggu kerana sudah mempunyai beberapa perancangan untuk arwah ibu termasuk sedekah dan derma atas nama Allahyarham.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian ibu dan faham kejadian yang berlaku ketika itu jika ada (pampasan) Alhamdulillah, jika tidak ada pun tidak mengapa," katanya.

Pada September 2015, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram itu tumbang.

Memetik laporan Saudi Press Agency sebelum ini, nilai pampasan bagi jemaah meninggal dunia dan jemaah yang hilang keupayaan kekal akan dibayar SR1 juta (RM1.18 juta) sementara kecederaan biasa pula akan diberi pampasan SR500,000 (RM588,976).

Semalam media melaporkan Kerajaan Arab Saudi mengagihkan bayaran pampasan kepada keluarga 27 jemaah haji India yang terlibat dalam insiden itu.

Kerajaan itu dilaporkan sedang berusaha membayar pampasan untuk jemaah haji pelbagai negara.

Sebelum itu Kerajaan Arab Saudi sudah mengagihkan pembayaran untuk jemaah haji Bangladesh.