KANGAR - Seorang ibu buntu memikirkan kos pembedahan anaknya dijadualkan pada 27 November ini yang masih belum mencukupi bagi tujuan mengeluarkan kemaluan di dalam perut sejak lahir.
Melor Hussein, 35, berkata, ia juga turut melibatkan pembedahan memasukkan kembali organ dalaman anaknya yang berada di luar badannya sejak lahir.
Menurut Melornya, anaknya yang kini berusia 11 tahun, dilahirkan tanpa saluran najis dan lubang dubur, berdepan keadaan menyeksakan apabila terpaksa 'mengendong' karung najis di perutnya setiap hari.
Sebelum ini, hospital menganggarkan kos pembedahan mencecah RM85,000, namun jumlah sebenarnya masih tidak dapat dipastikan.
Mengulas lanjut Melor berkata, dia langsung tidak mempunyai wang simpanan kerana tiada pendapatan tetap, selain perlu menjaga dua lagi anak yang masih bersekolah, apatah lagi suaminya, Normajdi Amran, 35, hanya bekerja kampung.
Bagaimanapun, Melor turut bersyukur kerana mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Sementara itu, mengulas mengenai anaknya, Melor memberitahu, anaknya itu mengalami trauma untuk berhadapan dengan masyarakat kerana pernah diejek rakan sebaya tentang kekurangannya itu.
Menurut Melor, disebabkan keadaannya seperti itu, anaknya itu tiada keyakinan diri dan enggan bergaul dengan orang tidak dikenali.
Bagi yang ingin membantu, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Agro Bank bernombor 1005181000057212 atas nama Normajdi Amran atau terus ke rumah mereka di alamat 818, Kampung Air Timbul, Jalan Kilang Gula, Chuping.