BUTTERWORTH - Kerja baik pulih bumbung Dewan Dato' Haji Ahmad Badawi, di sini yang runtuh sebelum ini akan dilakukan sebaik sahaja mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Datuk Bandar Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pihaknya bukan sengaja melengahkan kerja-kerja baik pulih struktur bumbung berkenaan, sebaliknya ia perlu mengikut operasi standard prosedur (SOP) yang ditetapkan selain siasatan oleh agensi yang berkaitan.
Menurutnya, JKKP sebelum ini mengarahkan supaya semua kerja di bangunan berkenaan dihentikan selepas insiden itu berlaku pada 15 Oktober lalu bagi meneliti kesemua laporan berkaitan kejadian.
"Sebelum ini, MBSP memberi tempoh dua minggu kepada pihak pemaju dan kontraktor untuk menyiapkan laporan dan kedua-duanya sudah diterima pada 25 Oktober dan 5 November lalu.
"Sekarang, kita menunggu pihak JKKP memberi kelulusan dan menarik perintah pemberhentian kerja untuk membolehkan kerja pembaikan dilakukan," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di dewan berkenaan pagi tadi.
Rozali berkata, pihaknya menjangkakan kerja-kerja baik pulih ini akan bermula minggu hadapan dan mengambil tempoh masa selama sebulan untuk disiapkan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebahagian struktur bumbung Dewan Dato' Haji Ahmad Badawi yang sedang dalam proses baik pulih runtuh pada 15 Oktober lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, enam pekerja sedang melakukan kerja-kerja baik pulih selepas mendapati terdapat kebocoran pada siling dewan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden itu.
Dewan yang sudah 18 tahun dibina itu dinaik taraf pada 2017 dan selesai pada 14 Mac lalu sebelum diserahkan kepada MBSP pada 16 Julai.
Projek naik taraf itu diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kos naik taraf RM4.4 juta.