Sudah ada tanda PH bakal kalah di Tanjung Piai, kata Pas

Iklan
Muhamad Khalid

SHAH ALAM - Senario berlaku di Tanjung Piai sekarang menampakkan tanda-tanda Pakatan Harapan (PH) bakal kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, minggu lalu menunjukkan program PH mendapat sambutan dingin manakala program Barisan Nasional (BN) bersama calonnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng rata-rata dipenuhi penduduk Tanjung Piai terutamanya kaum Cina.

Iklan
Iklan

"Ini mengejutkan banyak pihak kerana ramai berpendapat kaum Cina akan berterusan memberikan undi kepada PH kerana peralihan sokongan kaum Cina daripada MCA kepada DAP menjangkau 85 peratus dari keseluruhan undi kaum Cina pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Dengan sokongan dan undi dari kaum Cina yang dijangka menjadi penentu PRK kali ini, kegusaran di pihak PH terutamanya DAP jelas kelihatan kali ini," katanya yang juga anak kepada Presiden Pas dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Khalil berkata, sebelum hari penamaan calon PRK Tanjung Piai, ramai berpendapat PH akan memenangi semula kerusi Parlimen itu berdasarkan sentimen Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) terutamanya gelombang pengundi kaum Cina.

Beliau berkata, dengan PH hanya memiliki kelebihan 524 undi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, senario yang berlaku Tanjung Piai sekarang menampakkan tanda-tanda PH bakal kalah PRK kali ini.

Iklan

Katanya, DAP juga dilihat memperhebatkan serangan terhadap Pas dan UMNO terutamanya Muafakat Nasional yang digambarkan akan menjadi ancaman kepada bukan Melayu dan ternyata serangan DAP terhadap Muafakat Nasional itu gagal dan tidak memberi kesan kepada Pas, UMNO mahupun calon BN.

Namun yang menjadi persoalan, katanya, mengapa secara jelas di Tanjung Piai kaum Cina berpaling arah kepada MCA dengan menyatakan sokongan terang - terangan kepada BN dan setiap kali program PH terutamanya DAP, kehadiran dan sokongan kaum Cina hambar dan begitu mengecewakan.

"Apakah benar keadaan di kalangan rakyat terutamanya kaum Cina telah berubah dan berpaling arah kepada BN serta mula menerima Muafakat Nasional.

"Saya berpendapat kaum Cina berkemungkinan mula sedar sokongan kepada DAP tidak memberikan faedah kepada mereka terutamanya untuk jangka panjang.

"Kaum Cina yang rata-rata berpegang kepada janji manifesto PH sudah merasakan mereka tertipu. DAP yang sebelum ini dianggap pembela kaum Cina sudah mula tidak dipercayai kerana terpalit pelbagai skandal.

"Retorik DAP yang seolah-olah memusuhi orang Melayu Islam seperti menyusahkan kaum Cina yang rata-ratanya terbabit dalam perniagaan seperti kempen Buy Muslim First (BMF) yang menjejaskan perniagaan mereka," katanya.

Katanya, dengan prospek semasa ekonomi yang hambar apatah lagi ditadbir oleh pemimpin kanan DAP sebagai Menteri Kewangan, berkemungkinan besar faktor ekonomi memainkan peranan besar yang mengalihkan sokongan kaum Cina kepada BN kerana rata - rata kaum Cina yang terbabit dalam perniagaan melihat keadaan ekonomi dahulu lebih baik dan menguntungkan mereka.

"Ia ditambah dengan sentimen politik semasa yang menggusarkan kaum Cina, beralih kepada BN dilihat lebih memanfaatkan mereka dan dilihat mampu mengurangkan sentimen BMF mahupun kehangatan perdebatan kaum dan agama yang dilihat tidak memberikan manfaat kepada mereka," katanya.

Tambahnya, calon pilihanraya PH kali ini adalah daripada Bersatu namun jika kalah di PRK kali ini, DAP sebenarnya harus dipersalahkan kerana DAP telah menjadi beban kepada PH terutamanya kepada Bersatu dalam PRK ini.