REMBAU – Pembeli rumah di Taman Rembau Bayu merayu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) campur tangan dalam menyelesaikan projek perumahan terbengkalai, di sini sejak lima tahun lalu.
Pengerusi Badan Bertindak Projek Terbengkalai Taman Rembau Bayu, Abd Aziz Hamid, 67, berkata, impiannya untuk mendiami rumah pertama di taman berkenaan selepas bersara tidak kesampaian apabila projek yang sepatutnya siap pada 2015 itu terbengkalai.
Menurutnya, sejak beberapa tahun itu, dia bersama ahli jawatankuasa yang lain bekerja keras meminta bantuan kepada kementerian perumahan semasa pemerintahan sebelum ini, namun semuanya hampa.
"Lebih lima kali kami turun naik ke kementerian perumahan termasuk Jabatan Perumahan Negara, namun masing-masing tidak memberi kata putus, sebaliknya jawapan yang diberi sangat mengecewakan.
"Kebanyakan pembeli di sini adalah kakitangan kerajaan dan ini merupakan unit rumah pertama mereka yang sepatutnya dapat didiami lima tahun lalu tetapi disebabkan pemaju mengalami masalah kewangan, projek perumahan ini tidak dapat diteruskan.
"Seramai 27 pembeli yang kebanyakannya bumiputera menjadi mangsa keadaan, kami merayu kepada YB Menteri KPKT (Zuraida Kamaruddin) agar dapat membantu meneruskan projek perumahan ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau ditemui semasa mengadakan himpunan pembeli rumah Taman Rembau Bayu, di sini hari ini.
Beliau berkata, terdapat sebahagian blok rumah teres dua tingkat itu sudah pun siap 60 peratus dengan hampir 80 peratus bumbung premis sudah pun disiapkan.
Sementara itu, Setiausaha Badan bertindak yang juga pembeli rumah, Mohd Fadli Hassan, 52, berkata, meskipun rumah yang dibeli terbengkalai, namun pinjaman perumahan yang dibuat melalui bank terpaksa dibayar setiap bulan sebanyak RM1,500 tanpa gagal sejak lima tahun lalu.
Katanya, dia yang kini masih lagi menyewa di sekitar Rembau perlu membayar duit sewa rumah sebanyak RM500 berikutan impian memiliki kediaman pertama yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama berkecai.
"Kawasan perumahan ini sangat strategik, dekat dengan Pekan, Klinik Kesihatan, bakal ada Hospital Rembau dan kemudahan komuter. Prasarana di kawasan Rembau ini sangat cantik, lengkap semuanya sebab itulah kami tetap berharap rumah ini dapat disiapkan.
"Kita sangat terkilan apabila terjadinya kes seperti ini kerana ini adalah rumah pertama kami yang sepatutnya siap 2015 dan boleh diduduki tetapi semuanya hancur berkecai.
"Kalau boleh bantulah kami siapkan projek rumah ini. Kami tidak mahu lagi hidup menyewa dan membayar dua duit rumah, sedangkan satu lagi rumah tidak tahu apa nasibnya,” katanya.
Katanya, dia mewakili pembeli yang lain sangat berharap rayuan dan permintaan mereka didengari serta mendapat perhatian daripada pihak KPKT demi masa depan anak cucu yang lebih baik.
"Besar harapan kami agar projek perumahan ini dapat diteruskan dan tidak menjadi ‘gajah putih’ di Pekan Rembau ini memandangkan kawasan berada di laluan utama jalan Pekan Rembau,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.
"Saya difahamkan KPKT sedang dalam proses peringkat awal menilai beberapa alternatif untuk membantu pembeli-pembeli yang terjejas.
"Bagaimanapun kerajaan negeri bersedia untuk bertemu dengan pembeli dan cuba membantu mereka mencari jalan penyelesaian," katanya.