SELEPAS berjaya menamatkan cabaran Ironman Langkawi 2019 dengan catatan masa 15 jam, ramai yang kagum dengan kemampuan selebriti terkenal, Alif Satar.
Bukan sahaja berbakat besar dalam bidang diceburi, namun kemampuannya menamatkan perlumbaan yang keseluruhannya sejauh 3.8 kilometer (km) berenang, 180km berbasikal dan 42km berlari, memang mengagumkan!
Maka tidak hairanlah ramai dalam kalangan pengikut Alif memuji dan menjadikannya sumber inspirasi.
Namun ada juga dalam kalangan netizen yang musykil, jika sudah 15 jam dalam perlumbaan, masa bila pula Alif bersolat.
Walaupun sebelum ini, Alif sudah menjelaskan mengenai ruang solat disediakan pihak penganjur untuk peserta Muslim, namun video yang dimuat naik di laman Instagramnya hari ini mendapat perhatian pengikutnya di laman itu.
Alif memuat naik video dia bagaimana dia mengambil wuduk dan menunaikan solat di checkpoint perlumbaan.
Penyanyi dan pengacara itu dilihat memakai kain pelikat dan menunaikan solat bersama beberapa lagi peserta.
Perkongsian video ini pastinya menjawab persoalan netizen yang bertanyakan hal itu malah memperlihatkan penganjur juga peka terhadap para peserta yang beragama Islam.
Bukan itu sahaja, posting tersebut menarik perhatian rakan artis yang turut memuji penerangan Alif berkaitan solat dan tidak mudah melenting ketika diajukan soalan sedemikian dari peminatnya.
Video itu sehingga kini meraih lebih 326,546 tontonan dari peminatnya dan tular di laman sosial.
Kata @am.boiii's pula,"Saya betul-betul terinspirasi dengan abang."
Untuk rekod, Alif atau nama penuhnya, Muhamad Alif Mohd Satar, 29, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan kesemua cabaran Ironman Langkawi dalam masa 15 jam 5 minit sejauh 3.8 kilometer (km) berenang, 180 km berbasikal dan 42 km berlari.
ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar tamatkan Ironman Langkawi dalam tempoh 15 jam