PASIR MAS - Penduduk sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang kini dalam keadaan berjaga-jaga ekoran paras air sungai itu kini sudah melebihi paras normal akibat hujan di beberapa kawasan
Menurut laporan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia yang dikeluarkan pada pukul 2 petang tadi Sungai Golok kini pada paras 6.82 meter iaitu 0.18 meter menghampiri paras berjaga-jaga.
Paras normal di Sungai Golok adalah 5 meter manakala berjaga-jaga 7 meter, amaran 8 meter dan paras bahaya 9 meter.
Tinjauan Bernama di Kampung Jeram Perdah dekat Rantau Panjang di sini, hari ini mendapati air Sungai Golok hanya 1.3 meter sahaja untuk mencecah paras jalan raya berhampiran rumah penduduk.
Seorang penduduk Nor Shuhaidah Mat Jidin, 30, berkata, beberapa hari lepas paras air berdekatan rumahnya itu sudah melebihi paras berjaga-jaga iaitu 7.32 m tetapi kembali surut sejak semalam.
Katanya, sebelum ini penduduk boleh meranduk ke negara jiran tetapi kini mereka perlu menggunakan perahu atau bot enjin galah untuk ke sana.
"Kampung Jeram Perdah bersempadan dengan Kampung Bendang Nyior, Thailand. Penduduk di sini kebanyakannya mempunyai ikatan kekeluargaan dan sering berulang alik hampir setiap hari," katanya ketika ditemui, hari ini.
Nor Shuhaidah berkata, sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, keluarganya sudah membuat persiapan bagi menghadapi banjir termasuk memindahkan barang ke tempat tinggi.
"Meskipun rumah penduduk di sini bertiang tinggi sehingga tiga meter, air tetap masuk ke dalam rumah. Sekiranya banjir besar kami akan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara," katanya. - Bernama