KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Berang dengan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab membuang sampah di tepi jalan sehingga mengganggu lalu lintas, penduduk di Kampung Seri Tanjung di sini bertindak membina sebuah 'kubur' di kawasan itu.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Nasir Ismail, 52, berkata, tindakan itu dilakukan seorang penduduk yang mengeluarkan kos sendiri untuk membina 'kubur' yang dianggarkan sepanjang 10 kaki itu.
Menurutnya, tindakan membina 'kubur' di lokasi itu bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya lebih bertanggungjawab seterusnya mengembalikan keceriaan di kawasan terbabit.
"Ada dalam kalangan masyarakat yang gemar membuang sampah semberono sehingga menyebabkan sampah yang dibuang melimpah.
"Ada juga yang menyelongkar bagi mencari barangan berharga dalam tong sampah dan sampah yang bertaburan tidak dimasukkan kembali malah ada juga yang datang bakar sampah.
"Bukan setakat itu, ada juga yang membuang sampah dengan cara mencampakkan sahaja sampah begitu sahaja dari kenderaan sehingga sampah itu melimpah ke bahagian jalan," katanya ketika ditemui di lokasi itu semalam.
Sementara itu, penduduk, Wahab Salleh, 63, berkata, dia menyedari kewujudan 'kubur' itu sejak dua hari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bina kubur tepi jalan, elak orang buang sampahKatanya, idea membina 'kubur' itu wajar kerana dapat memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tabiat buruk itu tidak berlarutan.
"Bagi saya elok bina 'kubur' begitu sebab dapat beri pengajaran kepada masyarakat yang membuang sampah di tempat itu.
"Sebelum ini, banyak sampah yang dilonggokkan secara tidak tersusun di situ termasuk sampah daripada hasil bahan binaan.
"Hal ini menyebabkan gangguan kepada lalu lintas di kawasan itu," katanya.
Kisah kubur yang dibina di tepi jalan berhampiran tali air di Kampung Seri Tanjung, di sini tular sejak kelmarin selepas ia dimuat naik seorang pengguna di laman sosial Facebook.