Ibu mohon ALLAH beri keajaiban

Iklan
Fatimatusyaherah kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.
SIK - Seorang ibu hanya mengharapkan keajaiban selepas anak bongsunya disahkan mungkin mempunyai enam bulan sahaja untuk hidup.

Ibunya, Sarimah Bakar, 50, dari Kampung Teloi Tua berkata, Fatimatusyaherah Mohd Desa, 9, disahkan menghidap penyakit leukemia sejak 2015.

Menurutnya, anak ketiganya itu selesai menjalani rawatan kimoterapi hujung tahun sama dan sihat seperti biasa.

"Sejak itu, dia cuma buat rawatan susulan setiap bulan dari bulan November tahun 2015 hingga sekarang.

"Tetapi bila doktor buat ujian air sum- sum tulang belakang 15 November baru baru ini, anak didapati masih ada kanser dalam badan dia. Doktor beritahu dia ada enam bulan untuk hidup," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, doktor beri pilihan kepadanya sama ada lakukan rawatan kimoterapi atau menolak

dan dia bersetuju.

"Jika tolak hayatnya dijangka hanya enam bulan dan jika terima keputusannya tetap bergantung kepada ujian air sum-sum tulang belakang.

"Sekiranya keputusan air sum-sum tulang belakang sama dengan ujian 15 November lalu, doktor beritahu jawapan jangka hayatnya dianggarkan enam bulan juga," katanya.

Katanya, hanya ALLAH tahu perasaannya ketika ini.

"Belum pun setahun ayah dia (Mohd Desa Mohammed Noor) meninggal dunia, datang pula berita mengejutkan ini.

"Tiada kata-kata nak diluahkan lagi...cuma saya mohon doa semua agar ALLAH bagi keajaiban pada anak," katanya.

Ketika ini, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sik itu sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang dan menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sumbangan boleh disalurkan melalui Public Islamic Bank di nombor akaun 6-8617857-08 atau hubungi Sarimah di talian 017-4235754.