Pura-pura tawar khidmat cuci rumah sebelum pecah rumah

Iklan
Antara barang yang dirampas.

KUANTAN - Pura- pura menawarkan khidmat cuci rumah atau memotong rumput. Itu modus operandi yang dilakukan anggota geng pecah rumah dan curi dikenali Geng Rahman di kawasan Jaya Gading dan perkampungan Pandan di sini sekiranya rumah sasaran mereka berpenghuni.

Mereka akan mengetuk pintu dan memberi salam untuk mengetahui rumah itu berpenghuni atau tidak sebelum mengumpil jeriji tingkap atau pintu.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nanyan berkata, kegiatan mereka terbongkar selepas tujuh warga asing dipercayai anggota Geng Rahman ditangkap dalam satu serbuan Op Pintu di sebuah rumah di perkampungan Batu 10 Jalan Gambang- Kuantan di sini 25 Oktober lalu.

Menurutnya, anggota Geng Rahman menjadikan kawasan perumahan yang penghuninya bekerja waktu siang hari sebagai sasaran.

Iklan

"Jika rumah yang diketuk berpenghuni suspek akan berpura-pura menawarkan khidmat cuci rumah atau memotong rumput," katanya pada sidang akhbar di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini tadi.

Othman berkata, mereka merupakan pemegang kad pelarian Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang ditangkap bersama dua lagi warga tempatan bersama lebih 100 barang kes.

Iklan

"Kesemua pelarian UNHCR berkenaan iaitu empat lelaki dan tiga perempuan dari Myanmar manakala dua lagi wanita warga tempatan ditangkap dalam serbuan ke rumah terbabit pada jam 1 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Task Force Ops Pintu dari JSK Kontinjen Pahang dan JSJ Kuantan.

"Ketika ditangkap empat lelaki Myanmar itu positif dadah.

"Polis telah merampas 60 unit jam tangan; 54 telefon bimbit; 12 tablet; 15 kamera; 15 komputer riba; tiga beg; dua keris; dua parang panjang; dua kerambit; dua mesin gerudi; satu mesin penebuk; satu peti besi dan wang syiling serta kertas pelbagai mata wang," katanya.

Beliau berkata, kesemua sembilan suspek berusia 19 hingga 35 tahun itu kini ditahan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Katanya, penangkapan itu berjaya merungkai 24 kes pecah rumah dan curi di daerah ini membabitkan kawasan Jaya Gading dan Perkampungan Pandan.

"Sejak Ogos lalu, pihak polis menerima banyak laporan kejadian pecah rumah dan curi yang mendatangkan rasa bimbang masyarakat," katanya.