KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan 'peraturan baharu' daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada calon bertanding bahawa kempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis.
Beliau menjelaskan tidak faham dengan perkara itu menegaskan bahawa SPR perlu bertindak sebagai badan berkecuali dan bukan badan dikuasai oleh kerajaan.
"Apa yang nak dilakukan SPR mestilah berdasarkan undang-undang dan akta. Jadi saya tidak faham kenapa perkara seperti ini timbul di PRK (Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai).
"Adakah kerana pihak PH nampak mereka mempunyai jalan yang sukar untuk menang, jadi akhirnya SPR membantu mereka untuk menyusahkan parti-parti pembangkang seperti BN (Barisan Nasional) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Hari ini, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengingatkan kempen yang dibuat dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada polis kerana ia juga merupakan suatu bentuk kempen.
Katanya, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.
Beliau berkata, semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu tidak menolak kemungkinan BN akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya SPR bertindak di luar undang-undang dalam isu tersebut.
"Saya tidak fikir BN akan lemah semangat dan kita akan tengok dari segi undang-undang. Kalau SPR bertindak di luar undang-undang mungkin kita akan cabar tindakan ini di mahkamah dan sebagainya.
"Walaupun tidak sekarang tapi kita melihat dari segi kemungkinan mencabar tindakan SPR tersebut,” katanya.