MELAKA TENGAH - Polis Melaka merekodkan seramai 303 orang kanak-kanak dilaporkan hilang sejak 2010 hingga Oktober lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, daripada jumlah itu 93 peratus berjaya ditemui semula manakala 20 kanak-kanak masih belum ditemui.
Menurutnya, kehilangan kesemua mangsa berusia 18 tahun ke bawah itu disebabkan beberapa faktor termasuk keretakan hubungan keluarga seperti penceraian ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan lari mengikut kekasih.
"Ada sedikit peningkatan kehilangan kanak-kanak, namun ada juga ditemui semula dengan kerjasama masyarakat dan media yang turut menguar-uarkan kehilangan itu.
"Bagaimanapun 20 orang lagi masih belum ditemui sehingga kini dan kita juga tidak dapat pasti sama ada mereka terlibat dalam sindiket kerana tidak dapat dikesan hingga sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Pencegahan Jenayah bertemakan 'Kehilangan Kanak-Kanak, Di manakah Silapnya?' di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki; Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Kamal Affandi Hashim dan Presiden Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka (MGBM), Mohd Ridhuan Mohd Ali.
Mat Kasim berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat seharusnya memainkan peranan penting bagi memastikan golongan itu rasa disayangi dan nasib mereka terbela terutama mereka yang menjadi mangsa pengabaian ibu bapa disebabkan konflik rumah tangga.
"Komuniti masyarakat perlu menyemai semula semangat kekitaan dan kejiranan yang tinggi sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kes kehilangan yang melibatkan kanak-kanak selain semangat keibubapaan yang perlu diterap dalam kalangan ibu bapa," katanya.
Sementara itu, Kamal Affandi berkata, NGO juga disarankan mengambil inisiatif dan menjadi medium yang menyediakan tempat pelindungan terutama kepada kanak-kanak yang lari dari rumah ataupun hilang dari rumah.
Katanya, sewajarnya mereka menilai semula dan menambah baik kaedah yang relevan dalam isu ini termasuk bukan untuk mengurangkan jenayah namun lebih utama untuk mengurangkan mangsa yang hilang.
Menurutnya, kehilangan boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori iaitu dibawa lari, melarikan diri, dilarikan atau kehilangan misteri yang berkemungkinan terdapat elemen jenayah dan tidak dapat ditemui jasad dan sebagainya.
"Kebiasaannya dalam tempoh 72 jam selepas 'lari' individu itu akan rasa untuk pulang, namun untuk pulang ke rumah mungkin takut dimarahi dan di mana mereka hendak balik, jadi di pertengahan inilah yang NGO boleh bantu," katanya.