Generasi muda perlu digalak pelajari ilmu 'computer coding'

Iklan
Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - Generasi muda khususnya pelajar digalak mempelajari ilmu pengekodan komputer atau 'computer coding' dalam usaha meningkatkan kemahiran bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, golongan muda seharusnya berani berfikir di luar kotak dalam menambah ilmu mereka dan meningkatkan literasi berkaitan ilmu komputer.

Iklan
Iklan

"Dalam mendepani IR4.0, kita tidak boleh lagi terlalu bergantung pada sistem pembelajaran konvensional, kita perlu bersaing dengan golongan muda dari luar negara yang rata-ratanya mempunyai literasi yang tinggi mengenai ilmu komputer.

"Sistem pendidikan di Malaysia seharusnya didedahkan dengan mata pelajaran 'coding' dan para pelajar harus merebut peluang ini supaya syarikat-syarikat gergasi dapat menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan kerana pada masa itu kita sudah ada generasi yang berpengetahuan luas mengenainya," katanya ketika merasmikan program Hewlett Packard (HP) Generation Coding (#GenC) di Universiti Kuala Lumpur Institut British-Malaysia (UniKL BMI) hari ini.

Iklan

Beliau turut memuji usaha murni syarikat HP Inc. Malaysia, UniKL BMI dan Microsoft yang telah mengadakan inisiatif kelas percuma kepada pelajar untuk belajar mengenai ilmu asas 'coding' serta turut berharap golongan pelajar untuk tidak merugikan peluang yang ada bagi menambah ilmu baharu.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan HP Inc Malaysia, Fayza Mohamed Amin ketika ditemui Bernama berkata, syarikat itu menyasarkan 400 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 10 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapatkan sijil kemahiran asas 'coding' melalui program #GenC pada 2020.

Iklan

"Setakat ini, kita sudah berjaya memberikan sijil kepada 200 pelajar dari lima buah sekolah melalui kelas itu dari September hingga November. Untuk pelajar berumur 7 hingga 12 tahun, kita dedahkan mereka kepada 'Scratch Coding' dan untuk pelajar berumur 13 hingga 17 tahun pula kita ajar mengenai 'Python Coding' di Makmal Teknologi HP di sini.

"Untuk peringkat global pula, HP menyasarkan 100 juta orang celik ilmu 'coding' pada 2025 dan setakat ini kita sudah berada di tahap 21 peratus iaitu 21 juta orang dan kita akan terus berusaha meningkatkan jumlah ini dari semasa ke semasa dalam usaha kita mempersiapkan masyarakat mendepani IR4.0," katanya. - Bernama