Laporan polis dibuat terhadap Presiden Gerakan kerana memfitnah PH

Iklan
Kenyataan yang dikeluarkan Dr Dominic Lau mengenai kerajaan Pakatan Harapan yang kononnya akan membawa masuk guru dari Arab Saudi untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah negara ini.

KUALA LUMPUR - Satu laporan polis telah dibuat terhadap Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dr Dominic Lau kerana memfitnah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang kononnya akan membawa masuk guru dari Arab Saudi untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah negara ini.

Laporan dibuat oleh Mahmmod Kassim, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atas perbuatan Dominic memfitnah serta menyebarkan persepsi negatif terhadap Maszlee dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

"Guru-guru dari Arab Saudi sebenarnya akan dihantar ke Malaysia untuk belajar daripada sistem pendidikan negara ini di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Mereka akan didedahkan dengan metode pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mereka bukan diupah untuk mengajar murid-murid di negara kita," kata Mahmmod dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, memfitnah dengan kesalahan fakta dan penyebaran persepsi negatif sedemikian boleh mengganggu-gugat hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi dan membantutkan proses silang pendidikan serta kemajuan negara.

Kementerian Pendidikan memaklumkan persetujuan itu dicapai melalui pertemuan Maszlee bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh, di mana guru-guru subjek berkenaan dihantar ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman di sini. - Bernama

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Gerakan minta penjelasan pertukaran guru dari Arab Saudi