SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited untuk melahirkan lebih ramai asnaf yang boleh membayar zakat.
Pengurus Baitulmal MAIWP, Ahmad Talmizi Yahya berkata, pada tahun lepas pihaknya telah berjaya melaksanakan satu program bimbingan dengan membantu 10 orang kalangan asnaf menjadi usahawan dalam pelbagai bidang termasuk industri pembuatan makanan dan perniagaan.
"Ada kalangan mereka ini telah berjaya memperoleh pendapatan RM8,000 hingga RM20,000 sebulan dan mula membayar zakat.
"Jadi pada tahun ini, kita jalinkan kerjasama strategik dengan SME Corp bagi melahirkan Tunas Usahawan Baitulmal di mana seramai 100 orang kalangan asnaf ini telah menyertai program latihan beberapa minggu lalu dengan pelbagai pendedahan berkaitan keusahawanan secara menyeluruh.
"Sebab fokus kami terhadap dua perkara penting iaitu sama ada untuk mengeluarkan asnaf (daripada kemiskinan) atau memastikan asnaf itu tidak diwarisi,” katanya pada Wacana Siri ke-139 bertajuk 'Zakat: Instrumen Kewangan Sosial' di Dewan Karangkraf, di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya juga perlu memastikan perkembangan agihan bantuan zakat itu tidak statik pada setiap tahun sebaliknya perlu ada perubahan dan cara pelaksanaannya agar zakat itu dimanfaatkan dan sampai kepada penerima sasaran.
"Jadi dalam konteks ini kita melihat amat perlu seseorang asnaf itu berubah (status) kerana sampai bila perlu berstatus asnaf?”
"Mengikut rekod, dari Januari hingga September, seramai 124,000 penerima pelbagai agihan zakat termasuk skim bantuan bulanan, bantuan pendidikan untuk persekolahan dan juga bagi pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT), bantuan perubatan termasuk dialisis atau peralatan kesihatan, bantuan perniagaan dan pelbagai lagi,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini kira-kira RM478 juta telah dibelanjakan untuk agihan zakat walaupun pungutan zakat hanyalah sekitar lebih RM460 juta.