Tiada rokok elektronik didaftar sebagai ubat henti merokok

Iklan
Dr Lee Boon Chye

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang rokok elektronik (e-cigarette) atau vape yang didaftar sebagai alat atau ubat untuk berhenti merokok ketika ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Bagaimanapun menurutnya, cecair vape yang mengandungi nikotin dikawal kementerian itu di bawah Akta Racun 1952 dan sebarang penjualan produk berkenaan hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, individu yang bukan dalam kalangan profesional tersebut boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah menjual produk yang mengandungi bahan nikotin.

"Jadi apabila rampasan dilakukan, analisis akan dibuat dan sekiranya mengandungi nikotin di dalam cecair vape tersebut, tindakan akan diambil terhadap mereka yang menjual vape yang mengandungi nikotin," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Boon Chye berkata, kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan pemain industri vape bagi mendapatkan maklum balas sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada melarang sepenuhnya penggunaan vape, atau mengenakan sekatan yang lebih ketat terhadap penjualan cecair vape.

"Kita juga menjemput pihak industri tersebut supaya membentangkan kertas kerja mereka untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa khas (berhubung kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape) sebelum kita buat keputusan,” katanya.

Iklan

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama