PENGGAL persekolahan bagi tahun 2019 bakal berakhir minggu depan. Lega! Inilah apa yang anak-anak kita rasakan.
Mereka hanya membayangkan betapa seronoknya kehidupan yang dilalui dalam masa sebulan lebih ini. Mereka lega tak perlu nak hadap buku, cikgu, ujian, peperiksaan dan aktiviti di sekolah. Mereka lega tidak perlu bangun awal pagi, dan boleh bersantai pada waktu petang.
Namun, berbeza apa yang ibu bapa akan rasa dalam tempoh itu. Mana nak hadap kerenah anak-anak bergaduh dan rumah mula bersepah. Nak kena melayan pula anak-anak yang mula bertanya bila hendak berjalan-jalan. Paling perit nak menyediakan kos dan bajet untuk pakaian dan keperluan sekolah anak-anak tahun hadapan.
Barangkali hujung tahun menjadi satu musim paling menggerunkan bagi sesetengah ibu bapa. Apabila melihat pusat membeli-belah menayangkan koleksi pakaian, beg dan kasut sekolah, ada ibu bapa yang sudah mula mencongak-congak. Tahun ini berapa pula RM yang perlu dikeluarkan.
Merak Jalanan selalu mendengar rintihan ibu bapa yang terpaksa keluar kos keperluan sekolah bukan hanya pada hujung tahun. Ada antara mereka yang terpaksa menukar beg sekolah anak tiga kali dalam setahun! Semuanya gara-gara buku-buku terlalu banyak dan beg tak mampu tanggung beban.
Kalaulah itu menjadi salah satu punca ibu bapa terpaksa keluarkan kos tambahan, sesuatu perlu dibuat dan diambil perhatian serius. Alangkah elok jika pihak kementerian atau sekurang-kurangnya pihak sekolah sendiri fikirkan kaedah terbaik untuk bantu kurangkan beban ibu bapa.
Apabila cukup penggal akhir, cikgu tidak mahu terima buku teks yang lunyai macam roti kirai. Maka, ibu bapa terpaksa pula tambah kos untuk ganti buku teks yang baharu. Beban semakin bertambah.
Jadi, pihak sekolah perlu memudahkan keadaan dengan cara mengurangkan beban membawa balik buku teks ke rumah dan disimpan di dalam kelas.