KEPALA BATAS - Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Pulau Pinang menyambut baik langkah yang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menguatkuasakan larangan merokok di premis-premis makanan di negara ini.
Malahan langkah tersebut diharap dijalankan secara tegas, bukannya sekadar keputusan dan langkah popular kerajaan.
Pengerusi MAYC Pulau Pinang Saiful Anuar Sazali berkata, MAYC Pulau Pinang sekali gus menyokong dan menyambut baik saranan dan langkah yang diambil oleh kerajaan.
"MAYC Pulau Pinang mengucapkan tahniah dan penghargaan terhadap langkah proaktif kerajaan dalam menguatkuasakan larangan ini, jelas sekali kita lihat merokok memberikan pelbagai impak yang negatif bukan sahaja kepada perokok malahan masyarakat di sekeliling.
"Tambahan pula di premis-premis makanan seperti gerai serta restoran, jika dilihat sebelum ini, memang agak tidak selesa dengan tindakan segelintir perokok yang tidak mempedulikan keadaan sekeliling, kadang tu ada yang bawa anak kecil, jadi ia memberikan banyak mudarat," katanya.
Katanya, dalam masa sama, pihaknya sedar langkah ini memberikan pro dan kontra kepada masyarakat khususnya perokok.
"Sememangnya dalam pelaksanaan ini, ada yang berpuas hati dan ada yang tidak, namun, harus difikirkan, apa yang dilaksanakan oleh kerajaan ini bukan sesuatu yang mudarat namun secara langsung menjaga kesihatan umum masyarakat.
"Apa pun kita berharap perokok faham akan situasi ini dan patuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Menurutnya, apa yang diharapkan adalah larangan ini dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan.
"Kita berharap keputusan ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan dan bukannya bersifat sementara, bantahan itu biasa namun penerangan yang menyeluruh perlu diperjelaskan kepada semua pihak.
"Dan sekali lagi saya ingin menegaskan pihak kami menyokong dan menyambut baik keputusan kerajaan ini," katanya.
Terdahulu semua premis makanan di negara ini diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuatkuasa 12 tengah malam 1 Januari, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.
Peraturan larangan merokok itu di warta mengikut Peraturan 11, PPKHT 2004 yang mana mereka melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.