'Wujudkan pendidikan alternatif tangani jenayah seksual'

Iklan
Ahmad Tarmizi

ALOR SETAR - Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu bentuk pendidikan alternatif selain pendidikan seksual untuk kanak-kanak.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, mutakhir ini jenayah seksual amat membimbangkan dan menyedihkan apabila bukan sahaja golongan dewasa menjadi mangsa malah kanak-kanak tidak terkecuali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 1,921 kes daripada 3,308 kes penderaan dilaporkan kepada Pasukan Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak Yang Disyaki (SCAN) di hospital seluruh negara pada tahun 2018 merupakan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

"Pendidikan alternatif antaranya dengan kembali kepada panduan wahyu daripada Tuhan sama ada pendidikan formal atau tidak formal. Ini termasuk pemurnian jaringan media serta hukuman dan undang-undang syariah yang lebih berkesan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ahmad Tarmizi berkata, antara faktor utama yang mendorong kepada permasalahan itu adalah kerosakan institusi kekeluargaan, pengaruh media massa dan media alternatif serta kegagalan undang-undang sedia ada.

"Kita harus kembali kepada ketiga-tiga aspek itu untuk menurunkan kadar statistik negara. Pendidikan formal bukan hanya mengutamakan subjek Sains dan Matematik sebaliknya beri penekanan kepada pendidikan akhlak /moral, serta falsafah membangunkan tamadun masyarakat yang lebih baik,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pendidikan tidak formal pula merangkumi pembinaan institusi kekeluargaan yang merupakan unit-unit kecil sebagai tonggak sesebuah masyarakat.

"Individu yang dididik dengan penghayatan agama yang betul, akan mendidik anak-anak mereka dengan cara yang betul juga,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, jaringan media sosial hendaklah dikawal sebagai langkah menutup jalan-jalan kerosakan kerana tidak dinafikan pengaruh media dalam membentuk pemikiran masyarakat amat besar.

"Langkah lain adalah wujudkan hukuman dan undang-undang berteraskan wahyu. Saya mohon golongan cerdik pandai, ahli akademik serta pengkaji bidang sains sosial merancakkan lagi penyelidikan dalam isu jenayah dan salah laku dalam masyarakat, sekali gus memberi input kepada kerajaan dalam menggubal dasar pembangunan sosial negara,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 22,234 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan bagi tempoh 2010 hingga Mei 2017 dengan purata 3,176 kes setahun.

"Jumlah itu mewakili empat kategori penderaan seksual, iaitu rogol (13,272 kes) diikuti cabul (6,014 kes), sumbang mahram (1,796 kes), serta perbuatan luar tabii (1,152 kes),” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya negara akan terus dihantui kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

Tambahnya, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama PDRM mendedahkan terdapat 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018 berdasarkan laporan diterima serta siasatan.