KOTA BHARU - Pelaksanaan lima projek utama di Kelantan yang pernah diumum kerajaan Persekutuan amat penting untuk pembangunan ekonomi negeri itu.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, sudah sampai masa pemimpin-pemimpin mengetepikan fahaman politik dan sama-sama membantu membangunkan Kelantan.
"Kena buat, jangan hanya berjanji. Jangan pula janji 'dicapati', tapi tidak ditepati. Jangan jadi macam BN dulu.
"Menteri kena turun padang dan bantu kerajaan negeri. Jangan cakap sahaja tetapi pelaksanaan tidak ada," katanya.
Terdahulu beliau menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Muhammad V kelmarin yang menitahkan lima projek besar yang diumumkan kerajaan Persekutuan sebelum ini perlu dilaksanakan dengan segera.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Kelantan titah segerakan lima projek
Menurutnya, aspek pembangunan di Kelantan sudah tidak boleh dikompromi lagi dan jangan jadikan rakyat sebagai mangsa dalam semua keadaan yang berlaku dalam dunia politik.
Beliau berkata, jika kerajaan Pusat tidak melaksanakannya, tidak mustahil sampai bila-bila Pakatan Harapan (PH) tidak akan berjaya menawan atau berada di hati rakyat Kelantan.
"PH Kelantan akan jadi mangsa apabila mereka bermain dengan rakyat seperti ini. Sebab itu mereka kena ambil peduli tentang perkara ini. Apa yang dititahkan Sultan adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan.
"Rakyat mahukan politik yang benar-benar matang terlaksana di Kelantan dan di seluruh negara di mana jangan bezakan antara negeri yang diperintah oleh pembangkang atau bukan pembangkang.
"Semuanya mesti sama baru konsep federalisme betul-betul kita amalkan di negara ini. Cara pemerintahan 60 tahun BN jangan diulangi oleh Kerajaan PH sekarang," katanya.