KUANTAN - Hanya melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai pegawai sebuah bank, sindiket penipuan mendapat untung besar apabila berjaya memperdaya seorang pekerja swasta untuk menyerahkan maklumat akaun banknya sebelum melesapkan hampir RM20,000 dari akaun tersebut, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian Selasa lalu, mangsa berusia 41 tahun dari Kuala Lipis menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya pegawai dari sebuah bank.
Menurutnya, panggilan itu didakwa untuk pengesahan berhubung transaksi pengeluaran wang RM7,000 dari kad visanya yang dilakukan di cawangan bank itu di Puchong Jaya, Selangor.
"Mangsa menafikan tentang pemilikan kad visa dari bank berkenaan dan tidak pernah membuat sebarang pengeluaran wang menggunakan kad tersebut.
" Suspek memaklumkan kemungkinan maklumat peribadi mangsa disalahgunakan oleh pihak lain untuk mendapatkan kad visa yang dikeluarkan bank itu di cawangan Subang Jaya, Selangor," katanya.
Mohd Wazir berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa mengemukakan butiran perbankan internetnya untuk tujuan semakan.
"Mangsa akur apabila menyerahkan maklumat termasuk kata laluan perbankan internetnya kepada suspek sebelum dia menerima nombor kod pengesahan transaksi (TAC) untuk permohonan mengubah had limit pengeluaran wang kepada RM20,000.
"Pada hari sama, mangsa mendapati terdapat dua pemindahan wang masing -masing berjumlah RM9,998 dilakukan dari akaunnya ke akaun bank lain atas nama seorang lelaki tidak dikenali dalam tempoh dua minit dari jam 11.33 hingga 11.35 pagi," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihubungi suspek menggunakan nombor telefon berbeza namun dia tidak menjawab panggilan tersebut selepas menyedari pegawai bank berkenaan rupanya 'scammer'.
"Menyedari berlaku pemindahan wang secara tidak sah dari akaunnya, mangsa menghubungi pihak bank bagi menyekat segala transaksi perbankan atas talian daripada akaun miliknya itu.
"Malangnya, mangsa terpaksa menanggung kerugian apabila wang RM19,997 sempat dipindahkan suspek sebelum pihak bank mengambil tindakan," katanya.