VIPP sasar enam syarikat induk baharu

Iklan
Dr Mohd Hatta (tiga dari kiri) melawat ruang pameran syarikat vendor dan anchor selepas merasmikan VIPP di KLCC semalam.

KUALA LUMPUR - Sebanyak enam syarikat anchor (induk) baharu dijangka dapat dilahirkan menerusi Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, sasaran itu adalah untuk memperkasakan kerjasama strategik syarikat anchor dan syarikat vendor, khususnya Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia sekali gus merangsang pembangunan PKS di Malaysia dan seterusnya mampu menyumbang sehingga 50 peratus kepada perolehan kerajaan.

"Dari segi pembangunan ini, kita bergantung kepada anchor baharu. Ada enam anchor baharu yang akan terlibat dan dimasukkan.

Iklan

"Kita akan bergantung kepada anchor berkenaan dan setiap anchor ini akan ada vendornya yang ditambah. Kita juga akan tentukan sasaran untuk menambah lagi syarikat tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan VIPP di sini semalam.

Pada majlis sama, Dr Mohd Hatta turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dan Celcom Axiata Berhad yang mengiktiraf SME Bank sebagai institusi pembiayaan utama yang menyokong Program Pembangunan Vendor Celcom Axiata 2.0.

Iklan

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Sementara itu, Dr Mohd Hatta berkata, Program Pembangunan Vendor (PPV) MED menggalakkan vendor-vendor untuk menerokai industri berpertumbuhan tinggi, meningkatkan bekalan perkhidmatan dan produk secara rentas industri serta menembusi pasaran yang baharu.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 21 syarikat anchor dan 1,228 syarikat vendor berada di bawah PPV MED.

"Melalui VIPP, MED berharap ia dapat menarik lebih banyak penyertaan syarikat anchor dan vendor daripada pelbagai industri untuk memperkasakan PPV sebagai salah satu platform pembangunan keusahawanan yang selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

VIPP yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Melalui Inovasi dan Teknologi’ berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama dua hari bermula semalam dengan menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung.

Beberapa segmen menarik diatur seperti sesi perkongsian amalan terbaik perniagaan dan teknologi terkini IR 4.0 oleh 21 ikon usahawan dalam dan luar negara serta klinik kewangan.

Program tersebut turut mempamerkan sebanyak 16 pavilion oleh syarikat anchor dan potential anchor serta sebanyak 12 reruai pameran oleh agensi teknikal dan institusi kewangan.

Selain itu, sebanyak 500 sesi padanan perniagaan diaturkan bagi memberi peluang kepada vendor meneroka peluang perniagaan baharu dan mengembangkan perniagaan ke sektor lain bagi meningkatkan kebolehupayaan syarikat khususnya dalam industri berimpak tinggi.