JOHOR BAHRU - Seorang lelaki sedang melintas jalan maut selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 11.4 Lebuhraya Iskandar Sultan menghala Gelang Patah di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu dipercayai warga tempatan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 1.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, mangsa dilanggar sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk bedah siasat.
"Manakala, pemandu kereta Honda City itu yang mengalami kecederaan di bahagian bahu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan," katanya.
Menurutnya, polis sedang mengesan waris mangsa kerana tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan padanya.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru berkata, beliau bersama lapan anggota menaiki sebuah jentera ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
"Kami terima panggilan berhubung kemalangan pada jam 1.22 pagi dan operasi yang turut disertai Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu tamat 56 minit kemudian," katanya.