KOTA BHARU - Pelaksanaan lima projek utama yang dititahkan Sultan Muhammad V kelmarin amat wajar dilaksanakan dengan segera.
Presiden NGO Royalti, Nazri Deraman berkata, sebagai contoh, naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail bukan hanya pada terminal sahaja malah ia perlu dinaik taraf kepada antarabangsa.
"Kedudukan Kota Bharu yang merupakan bandar paling hampir dengar beberapa negara seperti Thailand, Kemboja, Loas, Vietnam, Taiwan, Hong Kong dan China menyebabkan ianya terlalu strategik dari segi lokasi.
"Sekiranya kita terlewat untuk menaikkan taraf landasan dan kemudahan yang membolehkan ianya bertaraf antarabangsa, kemungkinan pihak lain akan mengambil peluang terutamanya di negara jiran.
"Sekiranya pihak kerajaan Persekutuan benar-benar ingin membantu dan melihat Kelantan maju sejajar dengan negeri-negeri lain, maka usaha untuk menaikkan taraf lapangan Terbang kepada bertaraf antarabangsa ini akan mempercepatkan proses menjadikan Kelantan lebih maju," katanya.
Menurutnya, melibatkan pembinaan lebuhraya pula, tujuan asal pembinaan tersebut adalah untuk menyediakan kemudahan pengangkutan bagi rakyat di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.
Beliau berkata, jumlah penumpang yang telah menggunakan kemudahan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan LPT2 adalah agak kurang dibandingkan dengan kos yang telah dikeluarkan kerana kebanyakan pengguna adalah dari ataupun untuk ke Kelantan.
"Dengan pelaksanaan LPT3 ini, saya yakin jumlah pengguna akan meningkat berlipat kali ganda. Seterusnya akan memberikan pulangan atau ianya berbaloi dengan kos yang dikeluarkan.
"Saya amat menjunjung kasih dengan titah sultan yang menyeru pihak kerajaan negeri memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan projek utama tersebut. Saya juga yakin kedua-dua pihak berupaya menjalinkan kerjasama mantap ke arah merealisasikan hasrat murni tersebut.
"Sebagai rakyat Malaysia yang dilahirkan di Kelantan, saya amat berharap agar semua pihak khususnya pimpinan politik agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan profesional. Soal politik perlulah diketepikan dahulu, sekarang waktu semua pihak bekerja. Bila tibanya masa pilihanraya soal politik bolehlah diambil kira semula," katanya.
Mengulas mengenai royalti, Nazri berkata, pihaknya juga berharap agar pihak kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Persekutuan.
"Pada pandangan saya, inilah kali pertama pendedahan berani pihak kerajaan Persekutuan yang mengesahkan bahawa Kelantan merupakan salah satu negeri pengeluar minyak dan layak untuk menerima royalti.
"Pengumuman inilah yang selama ini amat ditunggu oleh sekalian rakyat Kelantan," katanya.