KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang menunggang motosikal maut apabila terlanggar seekor kerbau di Kampung Pangkalan, Jalan Telipok-Tenghilan, dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa, Jamius Fascon, 43, maut di tempat kejadian dalam nahas yang berlaku pada jam 3.40 pagi.
Iklan
Iklan
"Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Belud menuju ke Tuaran. Sampai di tempat kejadian, mangsa terlanggar seekor kerbau yang tiba-tiba keluar melintas jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan mayatnya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Bernama