Rosyam Nor tampil jawab tuduhan

Iklan
Rosyam (tengah), Raymond (kanan) dan Ho Ah Chai dalam sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor hari ini tampil menjelaskan kedudukan sebenar beliau dalam ST Rosyam Mart Sdn Bhd.

Ia susulan tular di media sosial sebelum ini mengatakan pasar raya itu dimiliki orang bukan Melayu yang juga pemilik syarikat Sri Ternak dan hanya menggunakan nama Rosyam untuk menarik pelanggan Melayu.

Iklan
Iklan

Menurut Rosyam, beliau merupakan pemegang saham sebanyak 10 peratus dalam ST Rosyam Mart.

"Saya bukan duta ST Rosyam Mart tetapi pemegang saham. Orang mempertikaikan kononnya nama saya dipergunakan Datuk Raymond Ho (Pengarah Eksekutif Sri Ternak).

Iklan

"Itu tidak benar kerana saya mengambil masa dua tahun meyakinkan Datuk Raymond untuk bergabung membuka ST Rosyam Mart. Malah, nama Rosyam Nor mula terkenal dalam bidang perniagaan setelah ST Rosyam Mart ditubuhkan," katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir, Raymond dan bapanya yang juga pengasas dan pemilik Sri Ternak, Ho Ah Chai.

Iklan

Baru-baru ini, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik kenyataan bahawa Rosyam bukan pemilik sebenar ST Rosyam Mart sebaliknya pasar raya itu kepunyaan orang Cina.

Pemilik akaun itu turut menuduh Rosyam menjadi barua dan mendapat elaun kerana menggunakan namanya.

Mengulas lanjut, Rosyam berkata, beliau tidak pernah membuat kenyataan memiliki pasar raya itu sepenuhnya, sebaliknya ia mendapat kerjasama dengan Sri Ternak.

"Semua orang tahu ST merujuk kepada Sri Ternak. Pelanggan harian yang selalu ke ST Rosyam Mart tidak melihatnya sebagai satu isu kerana mereka tahu dari awal.

"Saya tidak pernah berselindung tentang aktiviti perniagaan yang saya jalankan. Mustahil seorang pelakon seperti saya untuk buat perniagaan ini, tetapi ia menjadi realiti apabila bergabung dengan Sri Ternak ," katanya.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan ada pihak cemburu dengan kejayaan ST Rosyam Mart.

"ST Rosyam Mart hanya ada satu cawangan tapi jenamanya setanding pasar raya lain. Mungkin ada tangan ajaib yang jadikan ini isu perkauman," katanya.

Menurut pelakon filem KL Gangster 2 itu, beliau melihat tiada masalah untuk orang Melayu bekerjasama dengan bukan Melayu.

"Untuk buat perniagaan, tak semestinya dengan orang Melayu saja. Di Malaysia ini kita boleh buat perniagaan dengan sesiapa saja, apa masalahnya?

"Kalau kita lihat syarikat besar lain pun pemegang sahamnya ada orang Melayu, Cina dam India," katanya.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, beliau telah membuat laporan polis semalam ke atas pemilik akaun Facebook yang menuduhnya sebagai barua.

"Perkataan barua itu menyedihkan saya dan tak boleh diterima. Sebab itu saya buat laporan polis kerana telah memalukan nama saya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kontroversi itu tidak menjejaskan perniagaan ST Rosyam Mart sebaliknya pelanggan semakin bertambah.