SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan Selangor tidak menyediakan sebarang program atau bantuan khas buat wanita dalam golongan 'ibu tinggal' yang diabaikan suami di negeri ini.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bagaimanapun, golongan 'ibu tinggal' boleh memohon sebarang bantuan sedia ada yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melibatkan program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss), Skim Peduli Sihat, Bantuan Dana Nafkah Keluarga dan Bantuan Sihat Selangor sekiranya menepati syarat-syarat ditetapkan.
Beliau berkata, selain itu, 'ibu tinggal' juga boleh memohon bantuan yang diberikan melalui kerajaan Persekutuan seperti Bantuan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat atau Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kerajaan negeri sememangnya sukar untuk memberi sumbangan terus kepada golongan 'ibu tinggal' disebabkan status mereka yang masih berkahwin," katanya pada sidang media yang berlangsung di Bangunan Annex hari ini.
Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, 'ibu tinggal' perlu membuat laporan polis dan mendapatkan pengesahan ketua kampung sekiranya suami mereka tidak melaksanakan tanggungjawab serta menghilangkan diri terlalu lama bagi memudahkan golongan ini yang mempunyai anak kecil mendapatkan sebarang bantuan berkaitan.
"Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) telah memperuntukkan RM100,000 sebagai dana permulaan bagi Program Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Selangor untuk membantu wanita dan anak-anak yang diabaikan suami.
"Ibu yang layak akan diberikan bantuan minimum RM200 (seorang anak), RM300 (dua hingga tiga anak), RM400 (empat hingga lima anak) dan RM500 (enam anak ke atas)," katanya.
Tambah Mariah, pihaknya menyeru agar semua wanita yang tergolong dalam kategori 'ibu tinggal' untuk bangkit mendapatkan pembelaan demi masa depan mereka dan anak-anak.