2019 tahun mencabar ekonomi Malaysia: Guan Eng

Iklan
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian 'The Bursa Malaysia Marketplace Fair' hari ini. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Tempoh 2019 akan menjadi tahun mencabar bagi ekonomi Malaysia berikutan impak faktor luaran termasuk pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlanjutan, kebimbangan geopolitik di Timur Tengah, pelaksanaan monetari global yang lebih ketat serta ketidaktentuan harga minyak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ini akan menyebabkan ekonomi Malaysia terutamanya pasaran saham tidak terkecuali daripada impak faktor tersebut.

Iklan
Iklan

Namun, beliau sebaliknya optimis dengan keupayaan ekonomi negara untuk kekal pada haluan pertumbuhan yang stabil, didorong oleh permintaan luaran serta domestik.

"Walaupun menempuh tahun yang bergolak, pasaran saham kita ternyata kekal berdaya tahan berbanding pasaran di Singapura, Thailand, Hong Kong dan China.

Iklan

"Malah, dalam keadaan aliran keluar modal yang besar membabitkan negara pasaran sedang pesat membangun dan ASEAN tahun ini, indeks petunjuk utama tempatan FBM KLCI mencatat penyusutan 5.8 peratus setakat akhir November berbanding pasaran Asia lain yang merosot antara 9.1 peratus hingga 22.7 peratus," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada majlis MarketPlace @ Penang 2019 di sini, hari ini.

Menurut Guan Eng, ini turut menyaksikan Malaysia muncul sebagai pasaran saham kedua terbaik di rantau Asia Pasifik.

Iklan

Beliau berkata, aktiviti dagangan di pasaran saham tempatan juga kekal memberangsangkan dengan purata nilai dagangan harian menghampiri RM2.5 bilion setakat akhir November 2018 walaupun di dalam persekitaran pasaran ekuiti global yang mencabar serta faktor termasuk perang perdagangan AS-China.

"(Angka itu) masih merupakan satu peningkatan berbanding RM2.3 bilion pada tahun lepas yang secara amnya menggambarkan bahawa minat terus utuh ketika para pelabur mengambil kesempatan terhadap ketidaktentuan pasaran,” katanya.

Lim juga yakin jika resolusi perang perdagangan AS-China dapat dicapai, ini berkemungkinan besar akan mendorong peningkatan pasaran saham yang banyak bergantung kepada perkembangan faktor luaran.

Di pihak kerajaan, pelbagai dasar dan pendekatan telah diperkenalkan bagi mempertingkatkan pasaran modal, katanya.

"Ini termasuk pengecualian duti setem ke atas transaksi Dana Dagangan Bursa, SW (Waran Berstruktur), saham syarikat bermodal kecil dan sederhana yang diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan pelabur dalam segmen itu di pasaran,” katanya.

Selain itu, berdasarkan cabaran yang ada, beliau menggesa rakyat agar mempertingkat aspek ‘celik’ kewangan masing-masing serta berusaha menyelami kaedah pengurusan kewangan dengan lebih pintar, khususnya membabitkan pelaburan dalam persekitaran yang dikawal selia.

Tegasnya, ini penting kerana dapat mengelak mereka daripada menjadi mangsa skim cepat kaya atau penipuan syarikat serta pelaburan.

"Kekurangan aspek celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia masih serius yang mana masyarakat secara umumnya tidak maklum mengenai kepentingan serta impaknya terhadap masa depan dan gaya hidup seseorang itu,” katanya.- Bernama