Rugi RM281,748 ditipu ejen FBI palsu

Iklan

SEREMBAN – Seorang pesara doktor pakar kerugian sebanyak RM281,748 selepas ditipu dua kali sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, ia bermula apabila wanita berusia 60 tahun itu telah menerima emel daripada wanita dari Denmark yang menyamar sebagai ejen FBI.

Iklan
Iklan

"Ejen FBI palsu itu menyatakan hasrat membantu mangsa dapatkan semula wangnya berjumlah GBP 72 juta yang pernah ditipu pada tahun 2014.

"Mangsa pada mulanya tidak percaya, tapi mula terpedaya apabila diajak ke Denmark untuk dapatkan sendiri wang yang disimpan di dua buah bank di sana dan United Kingdom,” katanya.

Iklan

Menurutnya, mangsa lebih percaya apabila menerima emel yang kononnya daripada pihak bank terbabit yang ingin mendapatkan pengesahan bahawa wang itu adalah miliknya.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta berikan salinan pasport dan lesen memandu sebagai pengesahan dan perlu membayar GBP1,700 untuk aktifkan akuan supaya wang itu dapat dipindahkan ke dalam akaunnya.

Iklan

"Mangsa yang percaya telah ikut arahan suspek dan pada 27 September selepas pembayaran dibuat, mangsa diminta pula untuk dapatkan ‘code tpn’ dengan harga RM13,000 supaya wang berjumlah GBP18 juta dapat dimasukkan ke dalam akaunnya.

"Kemudian mangsa telah serahkan lima akuan banknya kepada suspek melalui emel. Selepas empat hari, mangsa dapati masih belum terima wang dijanjikan dan telah hubungi suspek,” katanya.

Namun Aibee berkata, mangsa diminta pula membayarRM50,000 bagi mendapatkan sijil pengubahan wang dari Brazil sebagai syarat.

Katanya, mangsa sekali lagi terpedaya dengan arahan suspek namun hampa apabila wang dijanjikan suspek masih belum diterima.

"Mangsa yang mula syaki ditipu telah hubungi pihak bank di Denmark dan diberitahu perkara itu tidak berlaku.

"Mangsa hubungi suspek dan diberitahu yang wangnya telah dipindahkan ke Sabah Development Bank bagi memudahkan urusan dan diminta bayar RM150,000 sebagai yuran caj. Sekali lagi mangsa percaya,” katanya.

Kata Aibee, ia tidak terhenti setakat itu sahaja apabila mangsa diminta bayar RM80,000 pula sebagai cukai pindahan.

"Mangsa enggan dan beritahu hanya mampu bayar RM50,000. Suspek beritahu akan tanggung RM30,000 dan berikan nombor telefon pengurus Sabah Development Bank.

"Bila mangsa hubungi nombor diberi, dia diberitahu pula wangnya ada di Jordan. Mangsa hanya sedar ditipu apabila berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID),” katanya.