BATU PAHAT - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori kontena di Jalan Parit Sulong, Yong Peng Batu Pahat di sini petang semalam.
Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam nahas jam 6.45 petang itu pemandu kereta berusia 59 tahun meninggal dunia manakala pemandu lori kontena berusia 39 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat.
Iklan
Iklan
"Ketika kejadian, lori kontena berkenaan dari arah Parit Sulong menghala ke Muar.
"Sampai di tempat kejadian, kereta dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong ke sebelah kanan jalan lalu masuk ke laluan lori kontena menyebabkan berlakunya perlanggaran dua kenderaan berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Sudin Manap berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.
"Seorang mangsa dikenali sebagai Ng Kin San, 59, tersepit telah dikeluarkan dari kereta oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba," katanya.