KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Wanita warga emas, N Shanta Kumari, 72, dikenal pasti sebagai individu yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di hadapan Viva City Home Jalan Loke Yew petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, mangsa yang juga penumpang teksi disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala.
Menurutnya, dalam kejadian 2.21 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan, teksi, Perodua Axia dan penunggang motosikal.
"Pelanggaran itu menyebabkan pemandu teksi dan pandu Perodua Axia masing-masing cedera di bahagian kepala, kaki dan dada kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)," katanya.
Katanya, penunggang motosikal berusia 20 tahun turut cedera retak kaki sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mayat mangsa dihantar ke HUKM untuk bedah siasat," katanya.