TELUK INTAN - Penduduk Kampung Bagan Lalang di sini mendesak campur tangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terhadap pengagihan lot tanah seluas 280 hektar yang diserahkan kepada kerajaan oleh Ladang Southern Perak (SPP).
Seorang penduduk, Mohd Isa Abd Rahman, 72, berkata, pihaknya difahamkan pengagihan sudah pun dibuat oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak tetapi dalam senarai penerima tidak ada nama penduduk kampung.
Menurutnya, majoriti penduduk tidak setuju dengan keadaan itu kerana mereka lebih memerlukan disebabkan ramai yang masih tidak mempunyai tapak rumah dan menumpang di tanah milik orang lain.
"Kita tinggal di Kampung Bagan Lalang, Sungai Samak, Sungai Manila hanya menjadi pemerhati dan pendengar sahaja, tapi tanah yang sepatutnya menjadi milik kami sudah dimiliki oleh orang lain.
"Kita minta, tolonglah penduduk kampung di kawasan ini supaya mereka dapat setidak-tidaknya kalau tak dapat banyak sikit pun kita dapat," katanya ketika ditemui pemberita bersama kira-kira 180 penduduk Kampung Bagan Lalang mengadakan perhimpunan aman dan penyerahan memorandum di kampung berkenaan semalam.
Hadir menerima memorandum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
Bagi seorang lagi penduduk, Noriah Saleh, 55, berkata, lot tanah yang sepatutnya menjadi hak penduduk perlu dikembalikan semula.
Katanya, penduduk yang sudah lama tinggal di situ perlu diberikan tanah kerana kebanyakan mereka kini merupakan warga emas.
Menurut Noriah, kebanyakan mereka tidak ada tapak malah terpaksa mendirikan rumah di rizab kerajaan.
"Kesian pada warga-warga emas yang tak berapa lama lagi ini, bagilah mereka rasa sedangkan mereka ada yang tak ada tapak rumah pun, tak ada tempat tinggal duduk menumpang di rizab. Kalau boleh kembalikanlah," katanya.
Generasi kedua kampung tersebut, Muhd Turiman, 35, pula meluahkan rasa kesal kerana generasi muda sepertinya tidak menerima lot tanah tersebut.
Katanya, kebanyakan generasi kedua tidak ada rumah dan terpaksa tinggal bersama-sama ibu bapa mereka sedangkan sudah berkeluarga.
Dia berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan mencabar, golongan muda sepertinya tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang terlalu mahal.
"Kami memang memerlukan rumah. Kami memang tak ada rumah, tinggal dengan ibu bapa. Ada sebahagian daripada kami yang menyewa tapi maklumlah sekarang keadaan ekonomi makin mencabar memang tak mampulah generasi kedua kalau nak beli tapak rumah atau rumah melainkan benda sedia ada sepatutnya menjadi milik kami di kawasan ini.
"Kami harap orang atasan buka mata dan adil untuk generasi kedua. Segera ambil tindakan. Jangan pinggirkan kami dan harap dapat selesaikan masalah ini dengan segera," katanya.
Dalam pada itu, wakil penduduk, Alias Ahmat dalam memorandum yang diserahkan kepada Mohd Azhar turut mendesak supaya Ahmad Faizal serta Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak membuat bancian dan saringan kepada terhadap penduduk kampung yang tidak mempunyai tanah termasuk setinggan di sekitar Teluk Intan untuk diberi keutamaan memiliki tanah lot di kawasan itu.
Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga diminta menyiasat jika terdapat sebarang salah laku terhadap pengagihan tanah seluas 280 hektar itu.
Sementara itu, Mohd Azhar berkata, pada tahun 2014, pihaknya telah berusaha menyelesaikan isu 219 penduduk sebelum ini yang menumpang tanah SPP dan hasilnya awal 2018 mereka telah pun menerima Notis 5A.
Namun katanya, beliau terkejut apabila mendapat tahu tanah-tanah seluas 280 hektar itu sudah diagihkan dan diberikan tawaran kepada individu tidak dikenali kebanyakannya orang luar.
"Tahun 2014 saya berusaha bersama penduduk kampung beberapa kali dengan pihak ladang dan kita dapat beberapa penyelesaian. Akhirnya pada awal 2018 masalah tersebut selesai. Kebetulan BN kalah dan PH ambil alih pentadbiran.
"Pada saya kita tak kisah siapa yang ambil alih asalkan mereka menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di kawasan setempat. Tapi yang kita marah bila penduduk generasi pertama, kedua dan ketiga langsung tak dapat," katanya.
Beliau berkata, perkara itu perlu diselesaikan segera secara adil kerana mereka mempunyai hak setelah menumpang begitu lama di atas tanah ladang.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang ditemui pemberita dalam satu program di Ipoh hari ini memaklumkan pihaknya akan membuat semakan tentang isu tersebut sebelum tindakan selanjutnya diambil.