Sepandai-pandai tupai melompat...

Iklan
Aktiviti pembalakan giat dijalankan dalam hutan simpan yang diceroboh sindiket. - Foto ihsan JPNK

ALOR SETAR - Bagi mengelakkan kegiatan dihidu penguat kuasa, sindiket ini memproses dahulu kayu balak yang ditebang secara haram di dalam hutan!

Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Perbuatan sindiket ini berjaya dihidu dan serbuan dilakukan dalam Ops Rimba yang diadakan bermula 3 hingga 12 November bersama 11 agensi penguat kuasa lain.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani mendedahkan, sindiket itu memproses terlebih dahulu kayu balak yang ditebang secara haram sebelum dibawa keluar dari hutan berbanding membawa kayu balak kerana lebih mudah dikesan.

"Kayu balak diproses menggunakan gergaji menjadi kayu sedia seperti papan dan tiang. Proses menebang dan memproses dilakukan dalam hutan, hanya kayu sedia yang siap untuk dipasarkan dibawa keluar,” katanya, pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Operasi Bersepadu (Ops Rimba) disempurnakan Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) kerajaan Kedah, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah hari ini.

Iklan

Roslan berkata, aktiviti ‘hit and run’ itu hanya mengambil masa sekitar tiga hari untuk menyiapkan proses menebang hingga memproses sebelum mereka berpindah ke kawasan lain bagi mengelak dikesan penguat kuasa.

"Walaupun dilakukan secara kecil-kecilan, namun kita percaya ia untuk tujuan komersial dan kemungkinan sebahagian untuk kegunaan sendiri. Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sudah berapa lama kegiatan itu berlaku,” katanya.

Iklan

Menurutnya, hasil operasi siri pertama (3-8 November) di daerah Langkawi dan siri kedua (10-12 November) di daerah Kedah Utara, Tengah dan Selatan, pihaknya menahan 29 individu, berusia antara 20 hingga 60 tahun.

Sebahagian peralatan yang dirampas di lokasi pemprosesan kayu balak. Gambar kanan: Kayu balak yang dipotong dalam muatan lori antara yang disita dalam Ops Rimba.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga tempatan termasuk Pendatang Tanpa Izin (PATI). Mereka akan didakwa bergantung atas kesalahan, sama ada secara individu atau berkumpulan,” katanya.

Roslan berkata, turut dirampas 155 tual kayu balak bernilai lebih RM50,000 di mana sebahagian besar terdiri daripada kayu bernilai tinggi seperti merbau dan meranti.

"Hasil operasi, kita dapati kawasan yang diceroboh mencecah keluasan 32 hektar, kita akan melakukan pemulihan semula dengan menanam pokok di kawasan terjejas bagi mengekalkan fungsinya sebagai hutan simpan kekal,” katanya.

Menurutnya, hasil risikan hampir dua tahun itu, antara kawasan yang diceroboh melibatkan pinggir sempadan hutan iaitu di Hutan Simpan Pedu (Kuala Nerang), Hutan Simpan Bukit Enggang (Sik), Hutan Simpan Bukit Perangin (Changlun), Hutan Simpan Rimba Teloi (Sik) dan Hutan Simpan Gunung Raya di Langkawi.

Pada majlis sama turut dilancarkan Pasukan Drone Jabatan Perhutanan (Forest Eagle) dan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) bagi meningkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan pencerobohan hutan.

"Kita mempunyai kekuatan anggota seramai 15 orang dan lima buah dron bagi memantau dari udara, bermula tahun lalu. Penggunaan dron memudahkan pemantauan sebelum serbuan dilakukan manakala unit Pantas akan bertindak atas aduan orang ramai terdiri daripada 20 anggota,” katanya.