IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini membenarkan permohonan penangguhan ke atas perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong sehingga 5 Disember depan.
Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu bagi membolehkan pasukan pembelaan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Permohonan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Pihak pembelaan yang diketuai Datuk Rajpal Singh ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya sedang memfailkan permohonan itu bagi membolehkan kes berkenaan didengarkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
"Kita sedang memfailkan permohonan itu hari ini dan kami menunggu tarikh yang akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi nanti. Jadi, perbicaraan kes ini akan tidak akan diteruskan buat masa ini,” katanya.
Katanya, pelbagai isu perundangan ditimbulkan terutamanya di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar berkata, pihaknya membantah permohonan pihak pembelaan itu yang hanya melengahkan masa dan prosiding mahkamah.
"Kita membantah kerana isu memfailkan usul berkenaan tidak berkaitan dengan prosiding hari ini dan ia masih boleh diteruskan sekiranya Mahkamah Tinggi bersetuju dengan permohonan tersebut.
"Yang kedua, tiada kepentingan kes ini untuk didengarkan di Mahkamah Tinggi kerana Seksyen 376 Kanun Keseksaan memang bidang kuasa Mahkamah Sesyen membicara dan mendengar keterangan saksi-saksi,” katanya.
Katanya, pihaknya perlu menunggu keputusan sama ada untuk membenarkan kes berkenaan didengarkan di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak berusia 49 tahun itu berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu.