MELAKA TENGAH - Seorang bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) dihukum penjara 584 tahun dan 146 sebatan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 146 pertuduhan menyeleweng peruntukan kewangan biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hanafi Ismail, 31, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah setelah jurubahasa membacakan semua pertuduhan dan fakta kes terhadapnya yang mengambil masa kira-kira dua jam.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara selama empat tahun dijatuhkan ke atas tertuduh bermula dari tarikh jatuh hukum iaitu hari ini dan satu sebatan bagi setiap 146 pertuduhan, dan kesemua hukuman dijalankan serentak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang kerani Gred N19 dipertanggungjawabkan sebagai penyelia baucar bayaran biasiswa Tapem bagi pelajar sekolah menengah dan pelajar asnaf negeri Melaka.
Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 23 Januari 2017 hingga Disember tahun lalu yang membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.404 juta yang dilakukan di Unit Kewangan Tapem di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh.
Berdasarkan fakta kes, dia yang menjawat jawatan itu dengan lantikan kontrak perjawatan pembantu tadbir menyalahgunakan harta dengan curang telah memasukkan peruntukan biasiswa pelajar ke dalam pelbagai akaun bank termasuk miliknya, perniagaannya, rakan dan keluarga sepanjang tempoh tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Mohd Nasir dalam penghakimannya turut meminta supaya tertuduh benar-benar insaf dan bertaubat memandangkan kesalahan yang dilakukan tergolong dalam dosa-dosa besar.
"Wang yang kamu guna itu sebahagiannya wang zakat dalam al Quran juga ada mengatakan yang mengambil dan memakan harta atau wang anak yatim adalah berdosa besar.
"Selepas kamu keluar dari penjara dan jika wang itu masih ada lagi kamu perlu pulangkan semula kepada kerajaan, harap kamu bertaubat dan tidak akan melakukan kesalahan ini lagi dan kembali menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara," katanya.
Tertuduh ditahan reman oleh SPRM pada 12 Januari lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan dan didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan sama pada 28 Oktober lalu.