BANGKOK - Polis Thailand menggagalkan cubaan menyeludup masuk 1 tan dadah ‘ice’ bernilai RM50 juta (350 juta baht) ke Malaysia, menurut Biro Penumpasan Narkotik (NSB) Thailand hari ini.
Timbalan Ketua NSB, Lt Gen Pornchai Charoenwong berkata, tiga suspek iaitu dua warga tempatan berumur 21 dan 22 tahun dan Myanmar, 35, ditangkap pada jam 4.30 pagi (waktu tempatan) di wilayah Phichit, kira-kira 330 kilometer dari Bangkok pada 10 November.
Iklan
Iklan
Bertindak atas maklumat, beliau berkata, polis menghentikan trak pikap yang dipandu salah seorang suspek dan selepas pemeriksaan, pegawai polis menjumpai 'ice' dalam beratus-ratus peket teh Cina yang dibungkus dalam beg plastik di dalam kenderaan itu.
"Kami percaya Malaysia dijadikan transit sebelum dadah itu dihantar ke negara lain.” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Pornchai berkata, suspek mendakwa dijanjikan upah 100,000 baht setiap orang untuk menyeludup dadah itu.
Beliau menambah, pihak polis sedang memburu dua lagi suspek, dipercayai dalang sindiket dadah itu.
"Mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap tidak lama lagi," katanya.- Bernama