HANYA kemenangan yang diharapkan Thailand ketika berdepan Malaysia pada aksi keempat Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Menurut pengendali Thailand, Akira Nishino, skuad Gajah Perang itu akan turun dengan misi jelas memburu tiga mata untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya.
"Yang penting adalah pemain-pemain saya menampilkan persembahan dengan baik dan cari keputusan yang bagus dalam perlawanan itu nanti,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Ketika ini, Thailand gah mengungguli Kumpulan G dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri. Malah, skuad Gajah Perang itu juga masih segar dengan kejayaan menundukkan jaguh Asia, UAE 2-1 bulan lalu.
Mengulas lanjut, Nishino berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan pasukannya setakat ini, namun mengharapkan para pemain dapat terus menyesuaikan diri dengan corak kejurulatihannya.
Pada masa sama, Nishino menafikan bahawa beliau menerapkan sepenuhnya corak ‘ala Jepun’ dalam rentak permainan Thailand sejak membimbing skuad Gajah Perang itu Julai lalu.
"Mungkin ada sedikit corak permainan seperti mana ketika saya melatih Jepun tetapi tidak 100 peratus. Masih ada kelonggaran dan perubahan dalam corak permainan pasukan,” kata pengendali kelahiran Jepun itu.
Sementara itu, ketua pasukan Thailand, Siwarak Tedsungnoen berkata, barisan pemain Gajah Perang berada dalam motivasi terbaik untuk melakar kemenangan ke atas Malaysia.
"Saya gembira dan berbangga dapat bermain di sini. Semua pemain sudah bersedia dan bermotivasi untuk mengharungi perlawanan malam esok,” ujarnya.