Pos tentera sempadan Malaysia-Thailand dipindahkan

Iklan
Muhammad Huzaimi melihat kaki palsu yang dipakai seorang bekas pegawai tentera, Zarawi Muhammad, 62, yang kudung paras lutut selepas terkena jerangkap samar ketika Perang Gerilla pada tahun 1977.

KOTA BHARU - Pos kawalan dan keselamatan tentera darat di sempadan negara antara Malaysia-Thailand yang berisiko dilanda banjir terutama di sepanjang Sungai Golok akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

Panglima 8 Briged, Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata, pihaknya sudah bersiap sedia pada bila-bila masa sahaja akan memindahkan pos yang dijangka ditenggelami air pada musim tengkujuh ke satu lokasi selamat yang sudah disiap sediakan.

Iklan
Iklan

Katanya, pemindahan pos tersebut bertujuan menjamin keselamatan kepada para anggota dan pegawai yang bertugas ketika musim banjir agar usaha menyelamat mangsa yang terdiri daripada penduduk tempatan tidak terjejas serta tidak menjejaskan operasi rutin.

"Pihak tentera sudah mengenal pasti pos-pos kawalan yang mungkin ditenggelami air di sepanjang tebing Sungai Golok di Rantau panjang dan akan melakukan kerja-kerja perpindahan dalam waktu terdekat.

Iklan

"Kami dalam keadaan bersiap siaga dan peka terhadap keadaan cuaca semasa serta akan segera berpindah sekiranya keadaan memerlukan untuk berbuat demikian,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama anggota cedera peringkat 8 Briged sempena hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-86 di Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Iklan

Sejumlah 31 terdiri daripada anggota dan pegawai bersama waris diraikan dan menerima sumbangan RM500 setiap seorang daripada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebagai mengenang jasa bekas tentera yang cedera semasa melaksanakan operasi serta latihan berisiko tinggi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau berkata, kelengkapan dan sejumlah 1,500 kekuatan anggota tentera dari Markas 8 Briged Pengkalan Chepa sudah bersiap sedia dalam menyertai Op Murni Banjir yang dijangka berlaku di negeri ini dalam tempoh bila-bila masa daripada sekarang.

"Dalam tempoh berjaga-jaga berdepan banjir ini hanya 10 peratus daripada keseluruhan anggota sahaja yang dibenarkan bercuti atas alasan-alasan yang munasabah dan selebihnya akan bertugas menjaga keselamatan dan menyelamatkan mangsa banjir.

"Kawalan keselamatan menerusi Op Merpati di pintu-pintu sempadan negara juga dikekalkan daripada dibolosi penyeludup ketika musim banjir walaupun trend aktiviti itu dijangka menurun ketika air Sungai Golok meningkat,” katanya.

Sementara itu, katanya, seluruh rakyat sepatutnya berasa terhutang budi dan berbangga atas pengorbanan setiap anggota tentera kerana ramai dalam kalangan mereka terkorban, tergadai nyawa dan mengalami kecacatan kekal ketika bertugas demi menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan agama, bangsa serta negara.

"Generasi muda hari ini berada dalam keadaan negara yang aman dan selesa sehingga lupa untuk menghargai jasa para anggota tentera malah ada yang berkata biadab dengan mempertikai tugas askar seperti makan dan tidur.

"Terkubur seorang tentera dan kecacatan yang dialami mereka membuktikan bahawa tentera sanggup berkorban apa-apa sahaja termasuk nyawa dan demi negara yang tercinta ini. Jadi, saya berharap kenyataan seumpama itu tidak berulang lagi dalam sebuah masyarakat yang bertamadun,” katanya.