Disangka hilang, rupanya terkandas di lautan

Iklan
Omar (kiri), Tun Samad (tengah) dan Abu Bakar menunjukkan sebahagian daripada hasil tangkapan yang bakal dijamu kepada saudara-mara pada majlis kesyukuran dalam masa terdekat ini.

MELAKA TENGAH - Seorang bapa bersyukur apabila tiga anak dan anak saudaranya selamat selepas keluar menangkap ikan di kawasan perairan Umbai-Pernu di sini dan tidak pulang ke rumah hilang sejak jam 7 pagi semalam.

Osman Mohammad

Menurut Osman Mohammad, 72, kebimbangan timbul selepas anak kedua dan kelimanya Omar, 46 dan Abu Bakar, 38, serta anak saudara, Tun Samad Suman, 40, tidak kembali ke pangkalan di Jeti Nelayan Umbai-Pernu seperti kebiasaannya jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Kebiasaannya jam 12 lebih tengah hari atau paling lewat pun 2 petang mereka sudah balik, tapi semalam dah 3 petang pun masih tak balik, sampaikan emak dia (Leha Husin, 70) tidak lalu makan.

"Tambah bimbang lagi apabila sekarang ini musim angin kencang dan ombak kuat, macam-macam perkara buruk bermain di fikiran. Itu sebab saya rujuk kepada Persatuan Nelayan Umbai - Pernu dan akhirnya keputusan diambil untuk membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Larang, Pernu di sini.

Iklan

Kes kehilangan tiga bersaudara terbabit kemudiannya dimaklumkan kepada beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Bagaimanapun, kesemua mereka pulang dengan selamat tiba di Jeti Nelayan Umbai-Pernu berasma bot bersaiz 8.5 meter panjang dan 60 kuasa kuda kira-kira jam 6 petang, semalam.

Iklan

Sementara itu, Omar berkata, keadaan laut bergelora jadi punca mereka terpaksa mengambil keputusan untuk berlindung di kawasan laut yang jaraknya kira-kira 5.5 batu nautika menghampiri Pulau Undan.

"Memang kami bercadang mahu bergerak balik kira-kira jam 12 tengah hari semalam sebab bot sudah sarat dengan hasil tangkapan ikan pari melebihi 100 kilogram tapi keadaan laut bergelora jadi kami terpaksa turunkan sauh supaya bot tak menyimpang dibawa arus.

"Kira-kira jam 2 petang, saya ada hantar mesej melalui Whatsapp beritahu kami pulang tapi tak sangka tak sampai atas masalah talian internet dan apabila keadaan mengizinkan barulah kami bergerak balik,” katanya yang sudah menjadi nelayan lebih 20 tahun.

Menurutnya yang sudah menjadi nelayan lebih 20 tahun, apabila menghampiri jeti dia bersama dua yang lain terkejut apabila melihatkan ramai yang menunggu mereka di pantai.

"Saya ingat apa yang dialami semalam perkara biasa tapi bila melihat ramai orang di darat berkumpul dan mula mencari kami bertiga, hati menjadi sebak, walaupun kami sebenarnya selamat.

"Kami rasa macam sudah menyusahkan ramai orang, kami minta maaf dan ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat serta yang mendoakan keselamatan kami semua,” katanya.

Omar berkata, buat masa ini, mereka akan berehat selama lima hari memandangkan keadaan air laut yang bergelora serta bercadang untuk mengadakan majlis kenduri kesyukuran dengan menjamu saudara-mara sebahagian daripada hasil tangkapan.