Pesta kerang bulu di Pantai Rhu Dua, Rusila

Iklan
Siti Zakias Abdul Rahman, 22, menunjukkan kerang spesies kerang bulu yang dikutipnya di Pantai Rhu Dua, Rusila semalam. - Foto: Bernama

MARANG - Kemunculan ribuan kerang yang terdampar di Pantai Rhu Dua, Rusila di sini menarik kunjungan ribuan orang ramai ke pantai itu.

Sejak petang kelmarin berita mengenai kemunculan spesies kerang bulu itu tular di laman sosial Facebook sekali dan gus mencetuskan suasana seolah-olah ada pesta di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Tinjauan di lokasi tersebut mendapati orang ramai yang datang bersama keluarga masing-masing membawa pelbagai peralatan seperti baldi, jaring dan sauk untuk mengutip kerang yang harganya agak tinggi di pasaran.

Sekumpulan remaja lelaki mencari kerang spesies kerang bulu yang terdampar di Pantai Rhu Dua, Rusila semalam. - Foto: Bernama

Iklan

Seorang pengunjung, Zukri Mamat, 57, dari Kampung Sentul Patah, berkata dia datang bersama tiga anak lelakinya untuk mengutip kerang selepas berita tersebut tular di laman sosial.

Zukri berkata, kali terakhir fenomena ribuan kerang naik ke pantai itu berlaku empat tahun lalu pada musim tengkujuh.

Iklan

"Saya sudah datang sejak 8 pagi untuk mengutip kerang dan hasilnya agak banyak iaitu kira-kira lima kilogram.

"Tetapi petang ini hasil kurang sedikit sekitar dua kilogram sahaja kerana ombak agak besar berbanding waktu pagi," katanya ketika ditemui di pantai berkenaan lewat petang semalam.

Sekumpulan wanita antara yang turut mencari kerang spesies kerang bulu yang terdampar di Pantai Rhu Dua, Rusila semalam. - Foto: Bernama

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Hariz Haikal Mohamad, 17, berkata, dia mula menyedari kehadiran kerang tersebut petang semalam ketika bersiar-siar bersama rakan-rakan selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia juga tidak melepaskan peluang mengutip kerang berkenaan dan sebahagian direbus untuk dimakan manakala sebahagian lagi dijual kepada jiran-jiran bagi mendapatkan wang saku.

"Dua tiga hari ini ombak agak besar. Mungkin sebab itu banyak kerang naik ke pantai. Keadaan ini sebenarnya biasa sahaja pada musim tengkujuh kerana tahun lepas pun ribuan remis naik di Pantai Kelulut

"Tetapi menurut kata orang-orang tua jika ada banyak hidupan naik ke pantai, itu adalah petanda akan berlaku banjir besar di kawasan itu," katanya yang tinggal di sekitar kawasan pantai berkenaan.

Syukri Yaakub, 32, menunjukkan kerang spesies kerang bulu yang dikutipnya di Pantai Rhu Dua, Rusila semalam. - Foto: Bernama

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenal Kol Che Adam A Rahman berkata, pihaknya telah menghantar beberapa anggota untuk memantau keadaan dan keselamatan orang ramai di pantai berkenaan.

Menurutnya, dalam keadaan ombak dan arus yang tidak menentu ketika Monsun Timur Laut adalah berbahaya dan tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pantai.

"Agensi keselamatan sentiasa mengingatkan orang ramai supaya menghindari kawasan pantai apatah lagi melakukan aktiviti mandi-manda dan mengutip kerang sehingga ke kawasan lima meter dari tepi pantai.

"Oleh itu saya nak ingatkan orang ramai supaya jangan terlalu ghairah mengutip kerang sehingga mengabaikan keselamatan diri kerana tidak mahu tragedi yang menimpa tiga beradik yang lemas di Johor ketika bermain di pantai berulang," katanya ketika dihubungi. - Bernama